Anda di sini

Usahawan Bumiputera masih banyak kelemahan ketara

Advertisement

KOTA KINABALU: Prestasi usahawan Bumiputera secara keseluruhannya masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata, walaupun pelbagai bantuan, kemudahan, galakan serta dorongan disediakan, kelemahan usahawan Bumiputera masih lagi ketara.

Menurutnya, aspek pentadbiran dan pengurusan antara perkara yang paling jelas menunjukkan kelemahan yang dimiliki oleh golongan usahawan Bumiputera.

“Tidak memadai bagi seseorang itu mengakui dirinya Bumiputera dengan hanya mengharap untuk mendapat peluang atau merebut peluang.

“Hari ini, seseorang bumiputera itu harus mempunyai kelebihan dan kemampuan melebihi pengenalan kaumnya sendiri.

“Ini kerana, persaingan sesama usahawan Bumiputera juga dapat dilihat memandangkan kerajaan mahu projek-projeknya dilaksanakan mengikut jadual yang ditentukan demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penutupan Kursus Asas Kewangan Perniagaan Kontraktor di sini kelmarin.

Hamisa berkata, kerajaan menggalakkan lebih banyak penyertaan pihak swasta dalam bidang perusahaan bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Peranan swasta jelasnya, semakin bertambah dan ia adalah salah satu strategi kerajaan untuk menggalakkan pelaburan melibatkan pelabur tempatan dan asing.

“Ini bermakna, kerajaan menyediakan peluang dan ia seharusnya mendapat sambutan daripada para usahawan dan kontraktor Bumiputera.

“Sehubungan itu, para usahawan hendaklah memperluaskan perdagangan dan perniagaan mereka dengan penuh tanggungjawab.

“Penting bagi para usahawan atau kontraktor kita bersikap jujur, amanah dan berdisiplin.

Setiap perjanjian yang dibuat hendaklah ditunaikan tanpa sebarang penyelewengan,” katanya.

Selain itu, Hamisa berkata ada sebahagian kontraktor Bumiputera didapati gagal menguruskan akaun syarikat dengan baik.

Menurutnya, laporan kewangan yang disediakan juga ada yang tidak lengkap hingga menyebabkan sesetengah mereka mengalami kerugian besar.

“Situasi ini berlaku kerana kebanyakan mereka seolah-olah tidak pernah memberi perhatian serius kepada asas perakaunan dalam perniagaan yang diceburi.

“Usahawan atau kontraktor binaan yang berjaya dan profesional perlu mengetahui sistem pengurusan kewangan dan perakaunan yang cekap serta berkesan.

“Pengurusan kewangan amat perlu bagi seseorang kontraktor, usahawan atau peniaga kerana ia adalah titik penentu jatuh bangunnya sesebuah syarikat,” katanya.

Justeru, Hamisa menyarankan para usahawan dan kontraktor berdaftar di negeri ini supaya sentiasa mengikuti kursus mahupun seminar yang diiktiraf.

Langkah berkenaan jelasnya, bukan sahaja berupaya meningkatkan ilmu tetapi akan membantu mengumpulkan mata bagi memperbaharui lesen masing-masing.

Beliau berkata, setiap kontraktor perlu memahami saranan kerajaan dalam meningkatkan kesedaran terutamanya dalam memahami undang-undang baharu berkaitan kontraktor.

 

Advertisement