Anda di sini

Bruce Chai calon UPP kerusi Pujut jika diberi kepercayaan

Advertisement

MIRI: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Pujut Kaunselor Bruce Chai Khim Cheong kelmarin mengesahkan beliau akan bertanding sebagai salah seorang calon untuk konstituensi berkenaan jika partinya diberikan kepercayaan dalam pilihan raya akan datang.

Bruce, 42, seorang graduan Diploma Komunikasi Perniagaan, turut merupakan setiausaha penganjur bagi UPP Pusat.

Beliau dilihat aktif turun padang sejak beberapa tahun lepas dalam membantu penduduk serta menyelesaikan masalah diutarakan.

“Saya merayu untuk diberikan kepercayaan selama lima tahun dan saya akan buktikannya, berilah sokongan kepada pencalonan saya di Pujut sebagai salah seorang calon tempatan,” jelasnya.

Menurut Bruce, beliau dan pihak UPP Bahagian Utara telah aktif turun padang sejak Januari tahun ini dan pergerakan di bawah Majulah Miri sejak beberapa tahun kebelakangan.

Beliau juga katanya, telah banyak berjumpa dengan penduduk di Pujut dan cuba menyelesaikan isu tidak mengira bangsa dan agama.

Katanya jika kepimpinan Barisan Nasional (BN) boleh menilai, UPP katanya mempunyai peluang cerah di Pujut.

“Saya tidak mahu lebih, cuma berilah kepercayaan untuk saya berkhidmat selama lima tahun untuk bekerja untuk penduduk,” katanya.

Sementara itu, pada Pilihan Raya Negeri lalu, konstituensi Pujut dimenangi oleh Fong Pau Teck yang pada ketika itu di bawah Parti Demokratik Rakyat (DAP) tetapi kini tidak berpayung di bawah manamana parti.

 

Advertisement