Anda di sini

MPOB pandang serius isu kecurian BTS sawit

Advertisement

Oleh Florence Nervyn//

 

 Uggah (dua kiri) menyampaikan Sijil Amalan Pertanian Baik Pekebun Kecil Sawit Persendirian kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Choo (dua kanan).

DIIKTIRAF: Uggah (dua kiri) menyampaikan Sijil Amalan Pertanian Baik Pekebun Kecil Sawit Persendirian kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Choo (dua kanan).

SIBU: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memandang serius isu kecurian buah tandan segar (BTS) kelapa sawit dengan mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas 77 pemegang lesen dan 12 lesen dibatalkan dalam Operasi Sawit Kenyalang 2015.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, satu lesen digantung dan 51 lagi diberi amaran pada Operasi Sawit Kenyalang bertujuan membanteras kegiatan kecurian BTS dan mewujudkan perniagaan sihat di kalangan pihak kilang, peniaga dan pekebun kecil.

“Hasil Ops Sawit Kenyalang 2015 bermula Januari hingga Julai, sebanyak 38.59 tan BTS dirampas dan dilupus dengan nilai RM13,973.74,” katanya ditemui pada Seminar Meningkatkan Produktiviti Industri Sawit Sarawak 2015 di sini semalam.

Tambah beliau, penguatkuasaan dan pelaksanaan kuota jualan BTS dua tan sebulan diteruskan dengan pemantauan dibuat melalui pemeriksaan rekod belian atau penerimaan BTS peniaga buah dan kilang buah, sementara pekebun kecil yang  didapati menjual BTS melebihi had dikenakan surat tunjuk sebab.

“Bagi menangani peningkatan hasil BTS pada masa puncak, kuota jualan BTS dua tan sebulan dinaikkan kepada 2.5 tan sebulan.

“Peniaga dan kilang dinasihati memohon kelulusan MPOB bagi membenarkan pembelian BTS daripada pekebun kecil yang melebihi had dua tan sebulan,” ujarnya.

Uggah berharap MPOB dapat memberi tunjuk ajar dan pengetahuan kepada pekebun kecil tentang penggredan dan harga buah kelapa sawit supaya mereka lebih mengenali gred buah kelapa sawit yang dihasilkan dan mendapat harga jualan adil dan berpatutan hasil tuaian kelapa sawit.

“Penanaman kelapa sawit merupakan salah satu usaha kerajaan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar.

“Kerajaan mahu pekebun kecil turut sama menikmati harga yang adil dan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka seiring dengan hasrat kerajaan mencapai status negara maju dan meningkatkan produktiviti kelapa sawit negara menjelang 2020,” katanya.

Uggah turut menggesa industri terutama sektor perladangan supaya meningkatkan penggunaan mekanisasi ladang bagi menangani masalah kekurangan pekerja ladang.

“Penggunaan jentera adalah langkah wajar dilakukan oleh industri dalam menangani masalah kekurangan pekerja ladang,” ujarnya sambil menambah, sehingga kini penyelidikan MPOB menghasilkan mesin penuai buah sawit dikenali sebagai Cantas.

Beliau menambah, MPOB melancarkan Pertandingan Mekanisasi Kelapa Sawit Antarabangsa pada Jun lalu bagi mencari mekanisasi kreatif dan berkesan membantu industri penanaman sawit.

“Ini merupakan penganjuran kali kedua bertujuan menarik minat universiti, pusat penyelidikan dan individu kreatif dalam menghasilkan mekanisasi kelapa sawit.

“MPOB menghasilkan mesin penuai buah sawit dikenali sebagai Cantas. Penggunaan seunit Cantas dapat menggantikan empat orang pekerja ladang.

“Kita melihat keperluan lebih banyak mekanisasi kelapa sawit berkesan terutama ketika menuai kelapa sawit disebabkan masalah kekurangan pekerja ladang.

“Sebagai galakan, kita menawarkan ganjaran lumayan AS$1 juta kepada pemenang tempat pertama,” katanya.

Seramai 400 peserta terdiri daripada kilang, peniaga dan pekebun kecil menghadiri Seminar Meningkatkan Produktiviti Sawit.

Hadir sama Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Choo Yuen May dan Ketua Wilayah MPOB Sarawak Sulim Lumong.

Advertisement