Anda di sini

APMM selamatkan lima pelancong dan dua kru bot penyelam

Advertisement

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu menyelamatkan lima pelancong asing dan dua kru bot penyelam selepas bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika dalam perjalanan ke Pulau Mantanani, Kota Belud, kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kota Kinabalu, Kapten Maritim Zin Azman Md Yunus berkata usaha menyelamat berkenaan dilaksanakan pada jam 5.05  petang selepas menerima panggilan kecemasan daripada pengemudi bot berkenaan jam 12.30 tengah hari.

“Keadaan laut berombak setinggi tiga hingga lima meter menyukarkan APMM menjalankan pencarian namun kerjasama dengan pihak Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah berjaya mengenal pasti kedudukan bot terbabit yang berada kira-kira 4.9 batu nautika dari Kuala Abai,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata lima pelancong asing dan dua kru bot yang berumur antara 20 hingga 40 tahun itu dipindahkan ke bot penyelamat manakala bot penyelam yang rosak ditunda dan dibawa ke pusat Peranginan Manana Borneo Resort di Kampung Pituru Laut, Kuala Abai, Kota Belud. — Bernama

Advertisement