Anda di sini

Semangat kerjasama kukuh tonggak kesejahteraan desa

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

 Tetamu disajikan dengan pelbagai juadah.

JAMU SELERA: Tetamu disajikan dengan pelbagai juadah.

SOKONGAN peringkat akar umbi dalam menerapkan semangat kerjasama bagi membawa kemajuan sebuah institusi kampung memainkan peranan penting untuk menjadi sebuah desa sejahtera.

Penghulu Kampung Melayu Betong, Abang Zawawie Rajit berpesan pertelingkahan antara penduduk boleh mewujudkan satu situasi tegang jika tidak mengamalkan perpaduan yang menjadi tonggak kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Kita masyarakat Melayu di Betong ini, semangat kerjasama masih kuat diamalkan bahkan semakin hari amalan ini terus kukuh dan menjadi tunjang perpaduan dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang wujud di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kampung Baru Hulu Betong 2015 yang berlangsung di Surau Darul Taqwa, kampung tersebut malam Ahad yang lalu.

Tambahnya penduduk kampung telah membuktikan bahawa nilai murni dalam diri setiap penduduk kampung akan membawa keharmonian dalam setiap program yang dilaksanakan dan pastinya akan membawa kejayaan.

“Meskipun kita sedar, warga Kampung Baru Hulu ini masih menanti kehadiran seorang pemimpin kampung berikutan peletakan jawatan ketua kampung yang lama, Wan Ahmed Wan Chee pada awal Julai yang lalu berikutan masalah kesihatan yang tidak mengizinkan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat namun saya percaya sesiapa sahaja yang bakal terpilih nanti dapat menyumbangkan tenaga dan idea untuk meneruskan usaha berbakti kepada penduduk.

“Berilah kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin kita yang telah dipilih untuk berkhidmat dengan jayanya. Sumbangkan idea yang bernas untuk menjadikan kepimpinan terus menemui kejayaan tanpa mengira siapapun yang dilantik,” tegasnya.

“Jangan pula nanti ada yang jadi musuh dalam selimut dengan menjadi penghasut kepada penduduk lain agar menolak kepercayaan kepada pemimpin yang ada dan timbul amalan berpuak-puak,” ujarnya sambil memberitahu keputusan tersebut masih dalam penilaian pihak atasan dan wakil rakyat.

Menurut Zawawie lagi, kerajaan telah meluluskan beberapa projek kampung bertujuan untuk memberi kemudahan penduduk dan keceriaan kepada kampung.

“Tolong beri kerjasama, untuk kita sama-sama memastikan projek

yang diberi berjalan lancar dan kita mendapat manfaat daripada kemudahan yang diberikan kerana kerajaan serius mahu memastikan setiap projek yang diberi setimpal dengan nilai kelulusan projek.

“Kita juga akan memantau projek yang sedang dilaksanakan dengan melihat kepentingan dan keutamaan kepada penduduk dan kampung,” katanya.

Pelbagai aktiviti turut diadakan bersempena majlis tersebut antaranya ialah pertandingan Menghias Gerai Jamuan, pertandingan Pakaian Kanak-kanak, Cabutan Bertuah dan Hadiah Misteri, persembahan nyanyian serta jamuan makan.

Bagi keputusan pertandingan Menghias Gerai Jamuan, Kantor Santapan Pemuda PBB telah diumumkan juara manakala Gerai PPWS menerima hadiah kedua pertandingan.

Majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Hulu mendapat kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Hulu, Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Kampung Baru Hulu dan Pemuda Ranting PBB Kampung Baru Betong telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kehadiran lebih 300 penduduk kampung dan masyarakat sekitar telah memeriahkan majlis tersebut yang turut dihadiri bekas Ketua Kampung Wan Ahmed Wan Chee, Ketua Kampung Hilir Segara Dukari, Ketua Ranting PBB Kampung Masjid Abang Suhailie Abang Pay, Ketua Ranting PBB Kampung Baru Lamat Ali serta Pengerusi Surau Darul Taqwa Wan Hamid Wan Suud.

 Wan Ahmed (tengah) menerima hadiah cabutan bertuah.

BERTUAH: Wan Ahmed (tengah) menerima hadiah cabutan bertuah.

Advertisement