Anda di sini

Pemaju setuju bayar kerugian RM13,000 kepada pembeli rumah

Advertisement

KUCHING: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) semalam menutup kes tuntutan membabitkan sebuah syarikat pemaju di Kota Samarahan dekat sini.

Pengerusinya Datuk Maznah Dasmi berkata keputusan tersebut dibuat selepas pemaju bersetuju untuk membayar kerugian RM13,000 kepada pembeli berkenaan menerusi cek yang akan ditandatangani pada 10 Ogos depan.

Dalam perbicaraan kes semalam, Maznah berkata pembeli dalam tuntutannya menyatakan rasa tidak puas hati dengan kerosakan yang banyak ditemui pada rumah teres dua tingkat yang dibeli dengan harga RM523,000 itu.

Antara kerosakan yang dikenal pasti ialah pada cerucuk dan atap bumbung yang mempunyai lebih daripada 20 lubang.

“Nasib baik, bapa kepada pembeli merupakan pakar dalam bidang pembinaan dengan pengalaman lebih daripada 20 tahun.

“Bapa kepada pembeli menyenaraikan semua kerosakan dalam Mei tahun ini dan setakat ini hanya bumbung yang telah diganti.

“Bagaimanapun pembeli masih lagi tidak berpuas hati dengan penggantian tersebut.

“Jadi pemaju bersetuju untuk membayar RM13,000 berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat oleh bapa pembeli,” katanya kepada pemberita.

Susulan persetujuan antara pemaju dan pembeli, Maznah bagi pihak tribunal memberi kepercayaan kepada pemaju untuk menandatangani cek yang dipersetujui pada 10 Ogos.

Jika cek tidak ditandatangani, pemaju katanya berhadapan dengan perbuatan jenayah.

Katanya mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan tribunal boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebih dua tahun.

Advertisement