Anda di sini

Khidmat ‘surprise delivery’ kian berkembang

Advertisement

Penghantaran bunga, kek, coklat, kad ucapan lebih popular di Instagram dan Facebook

KUALA LUMPUR: “Anda order dan kami akan hantar kepada orang tersayang anda di mana sahaja mereka berada. Ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan anda dengan orang tersayang”.

Ini mungkin menjadi antara ‘tagline’ bagi penyedia perkhidmatan penghantaran hadiah secara mengejut yang bertindak sebagai pengantara atau perancang antara penghantar dan penerima yang konsepnya dilihat kian berkembang sekarang.

Perkhidmatan penghantaran pelbagai rupa seperti bunga, kek, coklat, atau sekadar kad ucapan malah belon didapati lebih popular di Instagram dan Facebook sejak tahun lepas.

Seorang yang diistilah sebagai perancang kejutan bagi perkhidmatan ini, Nurul Farihin Mohd Noor, 22, dari Ipoh berkata idea beliau mewujudkan perkhidmatan ‘surprise delivery’ ini berkembang sejak seorang rakan dan kini rakan kongsinya menerima hadiah yang dihantar oleh penghantar kejutan daripada Kuala Lumpur.

“Ia mengujakan baginya. Dan bertitik tolak dari situ, beliau dan saya memikirkan mengapa kami tidak mewujudkan perkhidmatan sebegini di Ipoh yang belum lagi terdapat perkhidmatannya,” katanya.

Kini mereka merasa lebih yakin dengan servis penghantaran sedemikian yang turut dilakukan di luar Ipoh.

“Terdapat pelanggan yang menggunakan perkhidmatan kami untuk menghantar barang kemas ke Kuala Lumpur,” tambahnya.

Bagi Nurul Jannah Md Akhir dari Cheras Kuala Lumpur, perniagaan seumpama ini memberi pendapatan lumayan baginya sehingga boleh mencecah RM2,000 seminggu.

“Ia mendapat permintaan ramai, walaupun kadang-kadang kosnya (penghantaran) melebihi bajet, tetapi ia masih menguntungkan,” katanya yang menjalankan perkhidmatan bersama suaminya.

Beliau berkata beliau kini mempunyai pengikut di Instagram sehingga melebihi 44,000 orang.

Perkhidmatan ini turut diceburi pelajar pengajian tinggi secara separuh masa bagi menampung perbelanjaan.

Wardah Nurhananie Mohamad Nizam, 20, dan rakannya Nur Hidayah Rahmat, 21, dari Pulau Pinang yang menjalankan perniagaan menerusi Instagram sejak tahun lepas mampu berasa selesa kerana perkhidmatan itu masih belum popular di kawasan sebelah utara.

Perancang kejutan pertama di Melaka, pembuat kek Noor Salasiah Mohd Redzuan, 27, membuat penghantaran menerusi Instagram secara bersendirian sehingga ke Negeri Sembilan, Johor dan juga Kuala Lumpur.

“Dalam sehari saya mendapat lebih daripada lapan tempahan,” katanya dengan penuh kepuasan. — Bernama

Advertisement