Anda di sini

MILF rakan damai yang bernilai kepada kerajaan: Tentera Filipina

Advertisement

KUALA LUMPUR: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kekal rakan damai kerajaan yang bernilai dan dipercayai, kata Ketua Pejabat Media Damai Angkatan Tentera Filipina (AFP-PPO), Brigadier Jeneral Buenaventura C. Pascual.

Beliau yakin MILF secara umumnya merupakan rakan yang konsisten dalam usaha pentadbiran sedia ada untuk  mengekalkan keamanan di Mindanao, selatan Filipina.

“Tatkala adanya dakwaan pencabulan (gencatan senjata) oleh komander-komander di medan, secara keseluruhan kepimpinan mereka berupaya memastikan para pengikut mereka terus patuh,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan daripada Biro Media Proses Damai di Manila itu dihantar melalui e-mel kepada Bernama di sini, semalam.

Pascual berkata gencatan senjata antara kerajaan dan MILF berjaya dipulihkan selepas beberapa jam berlakunya kejadian berbalas tembakan di Mamasapano pada 25 Januari lalu, sekali gus membuktikan kesungguhan kedua-dua pihak meneruskan proses damai.

Sebelum Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) ditandatangani pada 2014, gencatan senjata sejak 2012 antara Kerajaan Filipina dan MILF telah berlangsung tanpa sebarang pencabulan.

Menurut kenyataan itu, insiden berbalas tembakan yang pernah dicatatkan sepanjang tempoh gencatan ialah pertempuran membabitkan anggota Pasukan Tindakan Khas Polis Kebangsaan Filipina (PNP) dan pejuang MILF di Mamasapano.

Pascual berkata pertempuran tersebut menyebabkan lebih 60 orang terbunuh tetapi pencabulan gencatan senjata tersebut tidak berlarutan menjadi konflik ketenteraan kerana langkah keselamatan dalam proses damai Bangsamoro telah diaktifkan.

“Data terbaru daripada kaji selidik bebas oleh Stesen Suasana Sosial menunjukkan rakyat Filipina masih menyokong proses damai dengan MILF.

“Kami dalam Angkatan Tentera Filipina mahukan perdamaian, dan saya pasti PNP juga begitu. Kami berada di barisan depan konflik bersenjata dan walaupun iasebahagian daripada tugas kami, kami juga seperti rakyat Filipina lain mempunyai keluarga dan mahu pulang ke pangkuan keluarga. Saya fikir tidak ada orang dalam sektor keselamatan termasuk MILF yang mahukan perang,” kata beliau.

Sementara itu Pascual berkata pada 16 Jun sebanyak 145 pejuang MILF telah dilucutkan senjata dan 75 kru dan senjata berat telah diserahkan kepada Pasukan Bebas Pelucutan Senjata (IDB) yang dimandatkan oleh CAB.

Para pejuang MILF terbabit kini telah memulakan peralihan untuk hidup seorang orang awam.

“Proses pelucutan senjata merupakan satu lagi bukti kukuh komitmen MILF terhadap janji mereka kepada pentadbiran sekarang. Bagi sesetengah orang senjata adalah senjata, tetapi bagi mereka ia merupakan lambang kepada perjuangan mereka yang panjang.

“Tindakan mereka meneruskan proses pelucutan senjata merupakan sesuatu yang dikagumi, kami menjangka fasa seterusnya diteruskan sehinggalah MILF ditransformasikan sepenuhnya sebagai pergerakan sivil dan bukan kumpulan pemberontak,” katanya.

Beliau berkata proses pelucutan senjata yang merupakan sebahagian daripada aturan damai komprehensif akan dijalankan secara berperingkat.

Seperti yang  dipersetujui oleh kedua-dua pihak, fasa kedua akan dimulakan apabila Undang-Undang Asas Bangsamoro (BBL) dipersetujui sementara fasa ketiga selepas pungutan suara dan fasa terakhir ialah selepas Kerajaan Bangsamoro ditubuhkan bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Sejak 2001 Malaysia merupakan orang tengah bagi rundingan damai antara kerajaan Filipina dan MILF, kumpulan pemberontak terbesar di negara itu. — Bernama

Advertisement