Anda di sini

Gesaan SUPP agar 22 Jul dimasuk dalam buku teks Sejarah satu ironi: DAP

Advertisement

SIBU: Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling menyifatkan gesaan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) kepada kerajaan persekutuan memasukkan tanggal 22 Julai dalam sejarah buku teks sekolah adalah satu ironi.

“Kerajaan tidak memasukkan tarikh pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dalam buku teks Sejarah dan kini SUPP pula menggesa memasukkan tarikh Kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963. Bukankah ini sekadar ironi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ling berkata, SUPP harus buat adalah untuk meminta kerajaan memasukkan tarikh pembentukan Malaysia juga dalam buku teks Sejarah supaya generasi muda sedar sejarah Sarawak.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin menggesa memasukkan 22 Julai 1963 dalam buku teks Sejarah.

Ling berkata, ini amat penting kerana generasi muda tidak tahu tentang sejarah Sarawak jika kedua-dua tarikh tidak dimasukkan dalam buku teks Sejarah.

“Saya telah membawa isu ini beberapa kali, tetapi pihak  berkenaan masih belum memberi respons perkara itu,” katanya.

Ling juga menyokong pengisytiharan dicadangkan 22 Julai sebagai cuti umum negeri memperingati hari Sarawak mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan kolonial British pada 1963, sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September tahun sama.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau juga menggesa SUPP berhenti membuat kenyataan mengelirukan bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah sebuah parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan hanya SUPP boleh membantu rakyat Sarawak menyelesaikan pelbagai perkara di negeri ini.

“Biar saya menjelaskan untuk pengetahuan semua bahawa DAP merupakan parti berasaskan kebangsaan berpangkalan di Malaysia dan kepentingannya adalah untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Lau juga turut mengkritik SUPP kerana menjadi ‘tempang’ selepas bertahun-tahun menjadi rakan komponen kerajaan BN negeri ini.

“Sebagai sebuah parti tempatan berpangkalan di dalam negara ini, mereka gagal memainkan peranan di negeri ini,” katanya.

Advertisement