Anda di sini

Malaysia pengerusi bersama Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai Gaza

Advertisement

NEW YORK: Malaysia dan Jordan menjadi pengerusi bersama Mesyuarat Formula-Arria Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin untuk membincangkan penderitaan warga Gaza, setahun selepas serangan Israel ke atas wilayah Palestin itu.

Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Mesyuarat Formula-Arria dengan Jordan bersetuju menjadi pengerusi kedua bersama.

Mesyuarat Formula-Arria adalah suatu mesyuarat sulit dan tidak rasmi yang membolehkan anggota Majlis Ke-selamatan bertukar pandangan peribadi secara berterus terang dalam lingkungan rangka kerja prosedur yang anjal dengan mereka yang dipercayai oleh anggota Majlis Keselamatan, boleh membawa manfaat untuk didengar dan/atau kepada mereka yang hendak disampaikan mesej.

Mesyuarat itu menyediakan anggota majlis keselamatan yang berminat satu peluang untuk melibatkan diri dalam dialog dengan wakil peringkat tinggi kerajaan dan badan antarabangsa selain daripada pihak bukan kerajaan dalam isu yang mereka prihatin dan termasuk dalam tanggungjawab majlis keselamatan.

Proses itu dinamakan sempena nama Duta Venezuela, Diego Arria yang mewakili negaranya di dalam majlis itu dari 1992 hingga 1993 dan memulakan inisiatif ini pada 1992. Anggota yang memanggil mesyuarat seperti itu juga mempengerusikannya, seperti yang dilakukan Malaysia pada Isnin.

Mesyuarat majlis keselamatan pada Isnin bertemakan ‘Renungan: Setahun Kemudian dan Melakar Hala Tuju Baharu Buat Gaza’ yang dipaparkan menerusi siri pembentangan oleh badan bukan kerajaan mengenai keadaan yang meruncing di Gaza selepas kemusnahan dan penderitaan di kawasan pe-nempatan itu akibat serangan 51 hari tentera Israel terhadap semenanjung berkenaan pada musim panas tahun lepas.

Serangan Israel itu merupakan operasi ketenteraan besar-besaran ketiga dalam enam tahun terhadap penempatan itu yang dilaporkan mengakibatkan penderitaan insan, ekonomi, sosial dan kemanusiaan kepada warga Gaza.

Bercakap kepada Bernama di pejabatnya sebaik sahaja selepas mesyuarat, Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Ramlan Ibrahim yang memulakan mesyuarat majlis keselamatan itu berkata “suasana pada mesyuarat itu adalah bagus.”

Anggota majlis menyedari keadaan tidak stabil di sana (Gaza) dan menggesa Israel untuk menghentikan sekatan ke atas Gaza dan pergerakan penduduk …Israel dan Mesir diminta membuka laluan sempadan bagi mengurangkan penderitaan,” katanya.

Bahkan, empat negara anggota majlis keselamatan – Chile, Perancis, Sepanyol dan United Kingdom menggesa masyarakat antarabangsa untuk menangani isu kemanusiaan ini, dengan meminta majlis itu memikul tanggungjawab untuk memecah kebuntuan politik semasa. — Bernama

 

Advertisement