Anda di sini

Rakyat Amerika nikmati lemang, nasi dagang

Advertisement

PEKAN: Dua sahabat karib, Carolyn Schoen dan Kris Sonsen tidak kesal mengorbankan waktu tidur mereka pada musim cuti untuk bersama orang ramai menghadiri Majlis Aidilfitri Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini semalam.

Ia bukan sahaja kunjungan pertama mereka ke istana itu bagi meraikan Aidilfitri bersama Sultan Pahang, tetapi yang lebih penting bagi kedua-dua-nya yang berasal dari Amerika Syarikat itu adalah peluang merasai pelbagai juadah Hari Raya serta berbual dengan orang tempatan yang duduk semeja bersama mereka.

Schoen, 23, dari Pittsburgh berkata lemang dan rendang daging menjadi kegemarannya manakala bagi Sonsen, 36, yang berasal dari Minneapolis, dia menikmati nasi dagang yang dibalut daun pisang.

“Sedap! Ini adalah kali kedua saya memakannya dan kali ini ia lebih enak. Kini, ia menjadi antara makanan kegemaran saya selain laksa dan roti kaya,” kata Sonsen kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu.

Ribuan rakyat termasuk kerabat diraja dan pemimpin negeri dari sekitar Pekan dan Kuantan menghadiri majlis itu.

Schoen ketika ini mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Shahbandar di sini, manakala Sonsen terlibat dalam program pengajaran Bahasa Inggeris di lima sekolah sekitar Pekan.

Memakai baju kurung warna coklat kemerahan, Schoen berkata ia kini menjadi pakaian hariannya manakala Sonsen dengan bangganya berkata baju kurung merah jambu yang dipakai untuk majlis itu adalah yang pertama dimilikinya selain sepasang baju kebaya.

“Saya sudah mempunyai baju kurung dalam koleksi. Ia begitu selesa dan mudah bergerak ketika memakainya. Selepas berada di sini sejak Januari lepas, saya tidak lagi boleh memakai pakaian yang saya bawa dari Amerika.

“Semuanya kerana makanan di sini. Tapi saya tidak akan mengurangkannya kerana saya sukakan teh tarik, kari-pap dan pau kelapa,” kata Schoen.

Mengulas mengenai sam-butan Hari Raya, Schoen dan Sonsen berkata ini adalah Aidilfitri pertama untuk mereka di Malaysia, walaupun Sonsen pernah menghabiskan tujuh tahun di Asia, kebanyakannya di China dan Thailand.

Schoen menjelaskan dia mempunyai pengalaman merasai bulan Ramadan ketika di Turki, tetapi berlepas pulang ke Pittsburgh sebelum Aidilfitri.

Bagi Sonsen, dia teruja melihat bagaimana semangat raya menyatukan orang ramai di Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya juga mengikutnya (Schoen) ke rumah beberapa muridnya sempena Hari Raya dan terkejut melihat sambutan yang diberikan dan mereka nampak gembira apabila kami memasuki rumah walaupun ibu bapa mereka tidak mengenali kami,” katanya.

Schoen juga menghargai usaha beberapa ibu bapa yang cuba berbahasa Inggeris ketika berbual dengannya walaupun ia bukan bahasa harian mereka.

“Mujur saya boleh cakap bahasa Melayu sikit-sikit… ada beberapa murid yang mengajar saya bahasa Melayu. Saya tidak fasih tetapi mereka gembira mendengar saya bercakap Melayu,” katanya. — Bernama

Advertisement