Anda di sini

Bomba KL berkongsi panduan mengawal kebocoran tong gas

Advertisement
 Mohd Firdaus memeriksa motosikal yang akan digunakan untuk membuat rondaan semasa cuti perayaan Aidilfitri di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

BUAT RONDAAN: Mohd Firdaus memeriksa motosikal yang akan digunakan untuk membuat rondaan semasa cuti perayaan Aidilfitri di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kebocoran tong gas memasak boleh mengundang bahaya dan memberi impak kemusnahan yang teruk kepada pengguna sendiri malah rumah juga akan terjejas sekiranya tidak ditangani dengan betul.

Dalam mencegah bahaya dan kemusnahan akibat kebocoran gas memasak, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkongsi beberapa panduan berguna untuk orang ramai.

Beliau berkata pengguna yang hendak memasak perlulah berwaspada terhadap persekitaran tong gas dan memastikannya berada dalam keadaan selamat.

“Jika pengguna menyedari terdapat kebocoran gas, hendaklah pastikan tidak terdapat percikan atau punca api.

“Ini berikutan kandungan gas yang tinggi dan padat melepasi had yang ditetapkan iaitu had bahan letupan rendah (LEL) akan meletup dengan mudah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, jika ada percikan api yang kecil sekalipun atau petikan suis elektrik, ia dengan mudah boleh menyambar setiap kawasan yang mempunyai sisa gas berkenaan.

Khiruddin berkata jika terlibat dalam situasi sedemikian, hendaklah membuka semua pintu dan tingkap bagi memudahkan pengaliran udara yang membolehkan gas  yang terperangkap keluar dari rumah.

“Gas yang mengalami kebocoran lebih berat dan tidak akan mudah keluar dari sebuah kawasan yang tertutup…ia akan berkumpul dan tersebar ke seluruh rumah selain melekat pada pelbagai barangan seperti langsir dan sofa.

“Selain itu, kita boleh menggunakan paip air yang mempunyai semburan halus bagi meleraikan kepadatan gas tersebut…ia akan mengurangkan risiko kebakaran di dalam rumah,” katanya.

Khiruddin berkata pelbagai langkah yang boleh diambil bagi menangani kejadian gas bocor antaranya ialah dengan membuat pemeriksaan secara berkala tiub gas dan memastikan ruangan dapur mempunyai sistem pengudaraan yang baik.

“Periksa tiub gas dengan menggunakan span yang diletakkan air sabun sekurang-kurangnya tiga bulan sekali dan sentiasa memastikan ruangan tempat memasak mempunyai sistem udara yang baik seperti kipas penyerap di dapur.

“Dengan adanya sistem udara yang baik, risiko kebakaran yang berpunca daripada tong gas memasak dapat dikurangkan,” ujarnya.

Beliau menambah, sekiranya seseorang itu ingin meninggalkan rumah dalam tempoh masa yang lama seperti balik ke kampung pada musim perayaan, hendaklah menanggalkan kepala gas.

“Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya. — Bernama

Advertisement