Anda di sini

Lebaran yang suram buat keluarga mangsa nahas MH17

Advertisement

MUAR: Seminggu lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan ketika itu ibu bapalah yang paling gembira kerana kesemua anak cucu mereka akan pulang menyambut lebaran bersama.

Namun bagi Md Salim Sarmo, 66, tarikh 17 Julai, ketika umat Islam merayakan hari lebaran itu seolah-olah tiada serinya lagi apabila seorang daripada anaknya Mohd Ali, 30, telah pergi buat selama-lamanya.

Pada tarikh keramat itulah Mohd Ali antara 298 penumpang yang terbunuh dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 setelah ditembak jatuh diUkraine.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine, yang melibatkan 44 mangsa warga Malaysia selain dari negara Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Mohd Ali adalah anak keenam daripada lapan beradik yang ketika itu sedang mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang ‘Development Neuropsychopathology’ di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.

“Aidilfitri ini seperti hilang serinya kerana saya telah kekurangan seorang anak (Mohd Ali). Sedih hati ini tiada siapa yang tahu.

“Sebagai bapa, saya sayang semua anak cuma masa saya bersama arwah terlalu singkat, kami hanya tinggal sebumbung hingga dia berusia 12 tahun sebelum arwah berpindah ke asrama.

“Sejak itu, arwah hanya pulang ke rumah ketika cuti sekolah atau semester dan telatahnya sememangnya menjadi tumpuan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jayor, di sini, baru-baru ini.

Pada 15 hingga 18 Julai ini Md Salim akan bersama anak bongsunya Noryasimah, 24, ke Belanda bagi menghadiri Majlis Peringatan Mangsa Tragedi MH17 itu.

“Saya ingin bersemuka dengan pihak berkuasa negara itu untuk  mengetahui perkembangan siasatan,” katanya.

Katanya, jemputan kerajaan Belanda itu dianggap rezeki kerana selama ini beliau teringin ke negara yang pernah didiami arwah anaknya ketika menuntut di peringkat PhD.

Sementara itu, Md Salim juga mahukan agar pampasan seperti yang dijanjikan dilunaskan segera bagi membolehkan mereka sekeluarga memenuhi janji arwah sebelum meninggal dunia.

“Tolonglah, bayarlah wang pampasan seperti dijanjikan. Kami sudah pun kehilangan anak, biarlah kami tunaikan hasratnya dengan wang itu secepat mungkin,” katanya.

Md Salim berkata, selepas hampir setahun kejadian itu berlalu, keluarganya baharu menerima AS$50,000 (lebih RM150,000) wang pampasan yang diberikan pengurusan MAS.

Beliau berkata sebagai bapa tiada wang ringgit yang boleh menilai nyawa anaknya, namun wang pampasan itu digunakan untuk membina rumah bagi memenuhi hasrat arwah.

Katanya arwah pernah menyuarakan hasrat membina rumah di sebelah rumah keluarganya itu sebaik sahaja arwah menamatkan pengajian.

Menurutnya pada 25 Mac lalu, dia menerima surat daripada pengurusan MAS memaklumkan Pembayaran Pampasan Penuh dan Terakhir masih dalam proses, namun tidak menerima sebarang berita hingga sekarang.

“Kami hanya tahu melalui laporan di akhbar setiap waris sepatutnya diberikan pampasan antara AS$157,000 hingga AS$175,000 tanpa mengira punca pesawat terhempas,” katanya. — Bernama

Advertisement