Anda di sini

1MDB diminta beri kerjasama kepada pasukan petugas khas

Advertisement

GEORGE TOWN:1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu bekerjasama dan membantu Pasukan Petugas yang menjalankan penyiasatan terhadapnya, kata naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau berkata setiap orang daripada syarikat pelaburan strategik itu perlu bekerjasama dengan pasukan berkenaan dengan menyediakan dokumen serta bahan bagi memudahkan penyiasatan.

“Apabila ada orang menuduh anda dan sekiranya anda tidak melakukan kesalahan, maka anda perlulah membenarkan siasatan dijalankan untuk membuktikan anda tidak bersalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis suai kenal anggota baharu MCA Pulau Pinang di sini semalam.

Jumaat lepas, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selasa lepas, Peguam Negara Abdul Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid AbuBakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas itu untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Sementara itu, Chew, yang juga pengerusi MCA Pulau Pinang, berkata anggota parti itu perlu mengikuti perkembangan krisis antara DAP dan PAS secara teliti agar mereka dapat memberi respons sewajarnya apabila diperlukan.

Beliau berkata hubungan antara dua parti itu ibarat cinta tiga segi, dengan masing-masing mempunyai prinsip, dasar dan ideal berbeza.

“Apa yang perlu kita buat sekarang ialah perkukuhkan parti kita bagi mendapatkan kembali keyakinan orang ramai dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Terdahulu, Majlis Syura PAS mengumumkan secara rasmi pihaknya mengekalkan keputusan muktamar parti itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP setelah hubungan mereka dilanda gelora selama sebulan, hingga menggugat kedudukan Pakatan Rakyat. — Bernama

Advertisement