Anda di sini

Dadah: Lelaki dihukum gantung sampai mati

Advertisement

IPOH: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin menjatuhi hukuman itu terhadap S. Muniandy, 33, setelah mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Tertuduh turut didenda RM70,000 atas kesalahan memiliki dadah dan diperintah menjalani hukuman penjara dua tahun jika gagal membayar denda itu.

Dalam penghakimannya, Noorin mendapati kesemua keterangan dibuat tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Katanya, alasan tertuduh mengatakan dia tidak mengetahui lelaki yang memasuki ke rumahnya merupakan polis adalah tidak munasabah sama sekali kerana saksi keenam dan ketujuh mengesahkan pihak polis ada menjerit ‘kami polis’ semasa menyerbu rumah itu.

“Jeritan polis dapat didengar oleh saksi keenam dan saksi ketujuh yang bertindak mengangkat kedua-dua tangan dan baring di atas lantai.

“Tertuduh memberitahu telah melihat lelaki-lelaki tersebut berpakaian hitam dan ini jelas menunjukkan tertuduh dapat melihat perkataan ‘POLIS’ yang tertera di baju pasukan polis yang menyerbu.

“Saksi keenam juga ada nampak mereka (polis) memegang senjata pump-gun dan semua berpakaian hitam kalis peluru. Saksi keenam nampak pada pakaian mereka ada tulis ‘POLIS’ kerana perkataan itu agak besar,” kata Noorin.

Muniandy didakwa mengedar 504.17 gram heroin, 336.5 gram Methamphetamine, 212.03 gram Monoacetylmorphines dan memiliki 3.92 gram Ketamine di dalam rumah beralamat No Blok C-1-3, Taman Meru Impiana, di sini pada 4.45 petang, 22 Okt 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan dan mengikut Seksyen 12(2) akta sama iaitu memiliki dadah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling manakala tertuduh diwakili peguam Datuk P.M. Nagarajan, Raja Segaran dan Mohd Izhar Ahmad Azmir. — Bernama

 

Advertisement