Anda di sini

Penyelesaian efektif wabak denggi

Advertisement

Kit Rumah Perlindungan Lengkap Denggi berkesan membunuh nyamuk

BANGI: Kit Rumah Perlindungan Lengkap Denggi berupaya menjadi penyelesaian efektif kepada pengawalan denggi sekali gus menghapuskan wabak denggi di seluruh negara, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Kit tersebut adalah hasil penyelidikan Inno Biologics Sdn Bhd dan Entogenex Industries Sdn Bhd mengandungi biolarvicide MOUSTICIDE yang dapat membunuh larva nyamuk, losyen penghalang nyamuk dan perangkap Ovi Larva Aedes itu, direka khas untuk membunuh sistem pembiakan nyamuk, katanya.

“Kit ini telah terbukti berkesan membunuh nyamuk di negara seperti Filipina, Thailand dan Vietnam dalam tempoh satu hingga dua bulan,” katanya selepas menandatangani perjanjian kerjasama tiga hala UKM, Inno Biologics dan Entogenex merangkumi inovasi, penyelidikan dan pembangunan perusahaan di sini semalam.

Perjanjian itu berasaskan konsep ‘Triple Helix’ iaitu kolaborasi antara pihak akademik-industri-kerajaan disaksikan oleh Pengarah Eksekutif EntoGenex Industries dan Pro Canselor UKM, Tun­ku Naquiddin Tuanku Ja’afar.

Inno Biologics dan Entogenex bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang menjalankan projek perintis Komuniti Bebas Denggi (KBD) di beberapa kawasan yang berisiko tinggi melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Johor bermula bulan ini.

Noor Azlan berkata kempen KBD merupakan program impak sosial untuk kawalan denggi yang ditubuhkan dengan gabungan inovasi bioteknologi dengan penglibatan masyarakat yang berkesan.

Sebagai permulaan, katanya, sebanyak 110,000 kit Rumah Perlindungan Lengkap Denggi akan diedarkan secara percuma kepada orang ramai di tiga negeri itu, dengan sasaran dapat mengurangkan kes denggi dalam masa setahun.

Noor Azlan berkata UKM akan menubuhkan Makmal Penyelidikan untuk menjadi sumber pengetahuan untuk denggi serta teknologi pengawalan denggi dalam masa terdekat. — Bernama

 

Advertisement