Anda di sini

Dua remaja 14 tahun maut motosikal dirempuh kereta

Advertisement

BALING: Dua remaja maut apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal lain di Kampung Tok Sin, Jalan Malau-Selarong kira-kira jam 7.15 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, DSP Wari berkata, penunggang dan pembonceng motosikal yang maut itu dikenali sebagai Muhammad Nur Aiman Abdul Rani, 14, dan Amirul Ikhwan Murad, 14.

Kedua-dua remaja itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian berlaku (semasa) sebuah kereta dipandu laju daripada arah Malau ke Selarong hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal dinaiki remaja perempuan berusia 17 tahun,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata, akibat daripada perlanggaran itu ketiga-ketiga kenderaan terbabit telah tercampak ke bawah tebing berhampiran yang mempunyai kedalaman kira-kira dua meter.

Menurut Wari, pemandu kereta berkenaan seorang lelaki berusia 22 tahun bekerja di sebuah kilang dan remaja perempuan yang menunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah.

Remaja perempuan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bakai di sini dan pemandu kereta yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Kulim.

Wari berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan berbahaya sehingga mengakibatkan kematian. — Bernama

 

Advertisement