Anda di sini

Pemimpin akar umbi mahu Dr Rayong pertahan DUN Engkilili

Advertisement

Oleh Frankie Junau //

ENGKILILI: Semua ahli Persatuan Tuai Rumah Engkilili/Skrang menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada wakil rakyat semasa, Dr Johnical Rayong Ngipa untuk mempertahankan konstituensi DUN Engkilili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya Kaunselor Sibat Krutap dalam kenyataannya berkata, hasil mesyuarat yang diadakan di Skim Penempatan Skrang semalam, mereka sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Dr Rayong serta mahu beliau dicalonkan semula pada PRN kelak.

Sehubungan itu, beliau menolak mana-mana calon terutama daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk mewakili Barisan Nasional (BN) di konstituensi itu nanti.

“Saya berharap selepas ini SUPP memahami dan menghormati pendirian tegas kami ini yang menolak sebarang calon daripada mereka,” katanya dan menambah Dr Rayong sahaja yang sangat memahami keperluan mereka, dekat di hati serta tahu keperluan mendesak rakyat Engkilili.

Mereka katanya, sudah letih dan muak mendengar kerusi DUN Engkilili bakal ada calon baharu seterusnya menggantikan wakil rakyat semasa.

“Itu kenyataan yang salah dan kami tidak terniat pun untuk menggantikan wakil rakyat kami itu apatah parti yang bakal diwakilinya juga dalam keluarga BN menerusi konsep BN-Plus seperti yang diumumkan pucuk kepimpinan parti sama ada di peringkat negeri mahupun pusat sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu mereka menasihati individu tertentu dalam SUPP agar tidak lagi menganjurkan sebarang aktiviti di DUN Engkilili tanpa memaklumkan kepada persatuan ini dan Dr Rayong khasnya.

“Sebarang penganjuran aktiviti tanpa memaklumkan kami sebagai pemimpin akar umbi serta Dr Rayong…bermakna aktiviti itu tidak sah dan kami menolaknya,” katanya dan menambah adalah lebih baik mereka menganjurkan lebih banyak aktiviti di DUN Simanggang kerana itu kawasan yang diwakili mereka.

“Cukup-cukuplah mengganggu kawasan kami…jangan kelak yang dikejar tak dapat yang digendong berciciran. Tumpukan pembangunan di DUN sendiri kerana maklum balas yang kami terima mengatakan DUN Simanggang masih memerlukan pembangunan dalam pelbagai aspek,” katanya.

Lagipun katanya, SUPP tidak sesuai mewakili suara mereka memandangkan majoriti penduduk Engkilili/Skrang adalah kaum Iban.

“Atas faktor itu kami merasakan hanya Dr Rayong dan parti yang disertainya sahaja layak mewakili kami. Jika di bandar pun kaum Cina sudah menolak SUPP…takkan kami pula sanggup menerimanya sedangkan parti yang kami ada sekarang cukup baik dan memahami aspirasi penduduk Engkilili,” tekannya sambil mengibaratkan SUPP sebagai sebuah kapal yang hampir karam serta ‘sakit’.

“Jika mereka berterusan menceroboh Engkilili, itu bukan membawa kebaikan sebaliknya mahu memecahbelahkan perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini.

“Sehubungan itu, kami semalam sebulat suara mahu mendapatkan tandatangan daripada ahli-ahli Persatuan Tuai Rumah di kawasan Engkilili/Skrang mahu agar Dr Rayong dikekalkan sebagai calon dan semua tandatangan itu akan diserahkan kepada Adenan yang dijadual melawat Engkilili pada 29 Julai ini,” katanya.

Ketika ini kepimpinan SUPP dilaporkan sedang giat melobi untuk meletakkan calon mereka sendiri di DUN Engkilili sekalipun sudah dinasihati agar tidak berbuat demikian.

Pada mesyuarat sama semua ahli persatuan turut berikrar menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di peringkat negeri dan Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat.

“Bagi kami, kedua-dua pemimpin tertinggi itu cukup prihatin dengan keperluan mendesak rakyat terutama kami di luar bandar…justeru tiada sebab untuk kami tidak menyokong kedua-dua mereka termasuk Dr Rayong selaku wakil rakyat kami,” tekannya.

Advertisement