Anda di sini

Lelaki dapat ‘hadiah’ Aidilfitri, terlepas hukuman gantung

Advertisement

Dibebaskan daripada tuduhan mengedar 2.7kg kanabis lima tahun lalu

PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang menghadapi hukuman gantung, kini berpeluang meraikan Aidilfitri bersama keluarganya selepas Mahkamah Persekutuan di sini membebaskan dia daripada tuduhan mengedar 2.7 kg kanabis lima tahun lepas.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria membenarkan rayuan terakhir bekas tukang sapu, Mohd Zulkifli Md Ridzuan, 39,untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana mengedar dadah.

Dalam keputusannya, Arifin memutuskan pegawai penyiasat (IO) gagal memeriksa panggilan telefon membabitkan Mohd Zulkifli dengan seorang ejen provokasi berhubung penjualan dadah itu.

Beliau berkata IO dengan mudah boleh memeriksa panggilan telefon untuk mengaitkan perayu dalam rundingan pembelian dadah itu.

Arifin berkata IO juga gagal menyiasat kewujudan seorang individu bernama ‘Suri’ yang Mohd Zulkifli dakwa adalah penyelianya dan orang yang memiliki dadah itu.

Selepas keputusan itu diumumkan, Mohd Zulkifli terus memeluk peguamnya, Datuk K. Kumaraendran, manakala adiknya Salina Hanum juga dilihat turut memeluk abangnya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Kumaraendran menyifatkan keputusan hari ini sebagai ‘hadiah’ Aidilfitri untuk anak guamnya.

Mohd Zulkifli didakwa mengedar 2.7 kg kanabis di medan selera di Taman Cengkok Manis, Lunas, Kulim, Kedah pada jam 9.30 malam, 19 Ogos 2010.

Dia merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Ogos 2013, yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 4 Jan 2012.

Berdasarkan fakta kes yang disediakan pihak pendakwaan, perayu bersetuju menjual dadah itu kepada detektif polis, seorang ejen provokasi, pada harga RM2,600 sekilogram selepas beberapa kali berhubung melalui telefon.

Urusan itu dilakukan di medan selera dan selepas mengadakan pertemuan, Mohd Zulkifli membawa ejen provokasi itu ke motosikalnya dan dia membuka sebuah beg mengandungi dadah itu yang diletakkan di dalam raga motosikalnya.

Sementara itu, pihak pembelaan pula menyatakan bukan perayu yang bercakap di telefon dengan ejen provokasi itu tetapi ia adalah ‘Suri’ dan individu itu hadir pada pertemuan di medan selera. — Bernama

Advertisement