Anda di sini

1234 graduan terima skrol pada Majlis Konvokesyen Ke-17 MSU

Advertisement

SHAH ALAM: Seramai 44 graduan cemerlang dan 14 graduan sulung bagi lima program pengajian dirai dalam Majlis Konvokesyen Ke-17, Management & Science University (MSU) yang akan berlangsung di Dewan Canselor, MSU, di sini.

Seramai 1,234 jumlah keseluruhan graduan menerima skrol pada majlis dua sesi disempurnakan oleh Canselor MSU, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung Tuanku Haminah.

Mereka terdiri dari 11 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (62), Ijazah Sarjana Muda (705) dan Diploma (456).

Manakala Sekolah Pendidikan dan Sains Sosial (SESS) pula menyumbang jumlah graduan terbesar berjumlah 375 orang.

Selain itu, lima program pengajian melahirkan graduan sulung bagi program ‘Bachelor in Retail Management (Hons)’, ‘Bachelor in Outdoor, Leisure & Adventure Management (Hons)’, ‘Bachelor of Management (Public Relations and Entertainment) (Hons)’, ‘Bachelor in Visual Communication and Marketing (Hons)’ dan ‘Diploma in Fashion Design’.

Sementara itu, kumpulan pertama 217 graduan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang terdiri daripada guru yang sedang berkhidmat di seluruh negara turut dirai pada majlis itu yang merupakan program usaha sama antara MSU dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab. Yajid.

Sebanyak lima kategori anugerah khas graduan cemerlang turut dianugerahkan kepada 44 graduan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka, antaranya ialah Pingat Emas Canselor, Anugerah Presiden, Anugerah Kecemerlangan Mohd Shukri Yajid, Anugerah Akademik dan Anugerah Industri.

Para penerima anugerah khas juga menerima hadiah wang tunai, pingat dan biasiswa bernilai RM350 ribu secara keseluruhannya.

Manakala 20 graduan menerima Anugerah Akademik dan 21 graduan menerima Anugerah Industri sebagai pengiktirafan khas rakan industri MSU dalam dan luar negara terhadap pencapaian graduan mengikut bidang masing-masing.

Antara rakan industri yang terlibat ialah Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Axiata Berhad, Affin Islamic Bank Berhad, Corporate (Chartered Accountants) Sri Lanka, United Malayan Land Bhd (UMLAND), Takaful Ikhlas Berhad, Hospitals (Pvt) Ltd, Sri Lanka, IDS Medical System (M) Sdn Bhd, Oni Global (M) Sdn Bhd, Novartis Corporation (M) Sdn Bhd, Optometry Centre Sdn Bhd, DRB-Hicom Berhad, UMW Holdings Berhad, Galadari Hotel Sri Lanka, Asia Seed Japan, Progressive Impact Corporation Berhad, Vanity Cosmeceutical Sdn Bhd dan MSU Kids.

MSU melalui Pelan Strategik 10 tahun (2011-2020) menekankan pengalaman pembelajaran menyeluruh (total learning experience) merangkumi enam teras utama iaitu pengalaman pembelajaran pelajar, sistem penyampaian pembelajaran, persekitaran pembelajaran, inovasi dan penyelidikan, pengantarabangsaan dan kampus hijau.

Ia selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pengajian Tinggi) dalam usaha negara melahirkan graduan holistik serta memenuhi 10 anjakan digariskan PPPM.

Sempena majlis konvokesyen itu, MSU Homecoming Fiesta turut diadakan mulai 11 hingga 14 Jun.

Pengisian program dipenuhi pelbagai aktiviti berbentuk akademik, keusahawanan, pertandingan serta pameran seperti Senarai Presiden, ‘MSU Apprentice Competition 2015: Amazing Business Challenge dan Nurturing Your Talent’.

 

Advertisement