Anda di sini

Masalah tapak pelupusan sampah tiada kesudahan

Advertisement

Tapak pelupusan undang bahaya kepada penduduk Kpg Skiat Lama kerana sudah capai jangka hayat maksimum

Oleh Nick Fletcher //

 Gambar fail menunjukkan tapak pelupusan sampah di Kampung Skiat Lama yang sudah tamat tempoh dan berisiko menyebarkan penyakit kepada penduduk di sekitarnya.

PENCEMARAN: Gambar fail menunjukkan tapak pelupusan sampah di Kampung Skiat Lama yang sudah tamat tempoh dan berisiko menyebarkan penyakit kepada penduduk di sekitarnya.

KUCHING: Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak merangkap Ketua Cabang PKR Mas Gading Boniface Willy Tumek kecewa dengan sikap sambil lewa pihak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah tapak pelupusan sampah di Kampung Skiat Lama, Bau dekat sini.

Katanya tapak pelupusan sampah tersebut mengundang bahaya dari segi keselamatan kepada penduduk Kampung Skiat Lama di mana ia sudah mencapai jangka hayat maksimumnya selama lima tahun.

“Saya sudah dua kali mengetengahkan isu tapak pelupusan sampah ini iaitu pada Disember 2013 dan Januari 2015 namun kerajaan sehingga hari ini tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan masalah ini.

“Tapak pelupusan sampah ini sangat berbahaya kepada penduduk Kampung Skiat Lama kerana setakat ini, ia sudah melebihi jangka hayat maksimumnya.

“Malah, kedudukan gereja kampung berkenaan yang terletak hanya 100 meter dari tapak pelupusan sampah tersebut juga menyebabkan para penduduk tidak dapat bersembahyang dengan selesa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Boniface turut mempersoalkan pemberian tapak seluas 200 hektar di Sampadi untuk pengurusan sisa pepejal di Bau sekali gus menyelesaikan isu tapak pelupusan sampah di Kampung Skiat Lama.

“Tapak pelupusan sampah yang sudah tamat tempoh dan terlalu kerap digunakan ini boleh menghasilkan gas yang sangat toksik selain menyebabkan penyakit bawaan lalat dan tikus,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Kampung Skiat Lama Mitod Bojeng dilaporkan berkata isu berkenaan mula menarik perhatian pada awal tahun ini apabila tapak pelupusan sampah itu mencapai kapasiti maksimum sehingga menyebabkan sisa pepejal dan air melimpah ke jalan utama dan menghalang lalu lintas.

Menurutnya, beberapa aduan juga sudah dikemukakan kepada Majlis Daerah Bau (MDB) sejak tiga tahun lalu.

Sementara pengerusi baharu MDB Inting Yami mengakui beliau amat menyedari tentang nasib penduduk kampung berkenaan.

Beliau menjelaskan pejabatnya masih menunggu kelulusan tapak baharu di sepanjang Jalan Bau-Lundu.

Inting yang mengambil alih tampuk pimpinan MDB baru-baru ini daripada Wong Hee Sieng berkata antara penyelesaian sementara segera adalah memperluaskan tapak pelupusan itu.

“Ini diharapkan dapat menampung sampah yang dibuang di seluruh kawasan tersebut,” katanya.

Advertisement