Anda di sini

MACAM-MACAM: Para peniaga menjual pelbagai juadah sepanjang bulan ramadan.

Advertisement

Tidak wujud masalah struktur binaan terjejas, justeru dakwaan ia berpotensi pecah tidak berasas

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Setiap kerja pembinaan Empangan Bengoh dilakukan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan adalah tidak wujud masalah struktur binaan yang dikatakan terjejas.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Ketua Jurutera Konsultan Empangan Bengoh Augustine Ting berkata masalah yang didakwa itu tidak berasas kerana ia melibatkan sambungan yang sememangnya dibuat bagi menyokong kepada struktur binaan yang lain.

“Sememangnya sambungan itu dibuat bagi menyokong kepada struktur binaan sedia ada (not cracking but opening of joint) berdasarkan teori fizik.

“Rekahan itu tidak sesekali berbahaya dan memberi kesan kepada struktur empangan yang sedang dibina itu mahupun ketika proses penakungan air kelak.

“Setiap kerja pembinaan empangan ini dilakukan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan agar struktur empangan ini dapat menampung jumlah air sekiranya siap kelak,” katanya semasa lawatan ke tapak Empangan Bengoh, kelmarin.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mambong Willie Mongin baru-baru ini dilaporkan menyatakan bahawa beliau telah dimaklumkan oleh penduduk bahawa Empangan Bengoh mengalami masalah dari segi struktur binaannya yang mungkin boleh menyebabkan empangan pecah.

Justeru, beliau telah menyuarakan kebimbangan dan menggesa siasatan segera daripada pihak bertanggungjawab.

“Keadaan ini amat berbahaya terutama kepada penduduk kampung yang tinggal di hilir empangan di mana ia akan menyebabkan banjir yang tidak terkawal,” katanya.

Ekoran itu juga, Willie turut menegaskan agar pihak bertanggungjawab khususnya kerajaan menggunakan tenaga pakar untuk membuat kajian bagi mengenal pasti sama ada struktur binaan empangan selamat atau tidak sebelum membuat penakungan air sepenuhnya.

Berhubung gesaan Willie itu, Augustine berkata ia sememangnya mendapat perhatian daripada pihaknya di mana beberapa kajian telah dilakukan berhubung struktur empangan untuk memastikan ia benar-benar selamat.

“Saya memberi jaminan bahawa struktur empangan ini selamat kerana banyak analisisi dan ujian telah dibuat bagi memastikan keselamatan dan ketahanan struktur kekal utuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata penduduk kampung yang tinggal di hilir Empangan Bengoh seperti Kampung Bengoh, Kampung Danu, Kampung Semadang, Kampung Giam, Kampung Git dan Kampung Grait tidak perlu risau akan keselamatan mereka.

“Kerajaan sangat menitikberatkan hal-hal keselamatan terutama penduduk yang tinggal berdekatan agar pembinaan empangan ini tidak menjejaskan keselamatan mereka,” katanya.

Empangan Bengoh terletak kira-kira 40 kilometer dari selatan bandar raya Kuching dan apabila siap nanti, ia dijangka mampu menyimpan sejumlah 114 juta meter padu air dengan kawasan tadahan seluas 127 kilometer persegi.

Advertisement