Anda di sini

Waspada, elak jadi mangsa penyeluk saku

Advertisement

Pasar Sentral Sibu dan Jalan Channel dikenal pasti sebagai lubuk seluk saku

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Masih ada yang leka, cuai dan menjadi mangsa penyeluk saku di tempat awam yang sesak menjelang musim perayaan ini.

Kelmarin dua kes seluk saku dilaporkan berlaku di tempat awam termasuk di sebuah pasar raya di Jalan Channel dan di Pasar Sentral Sibu di sini.

Kedua-dua tempat merupakan lubuk bagi penyeluk saku mengintai mangsanya.

Namun, sikap enggan berwaspada dan tidak mahu mengendahkan berita kes seluk saku sering tersiar di akhbar merugikan mereka yang cuai ketika berada di tempat tumpuan ramai.

Kelmarin, seorang ibu mengendong bayi berumur kurang setahun turut menjadi mangsa penyeluk saku di sebuah pasar raya tersebut.

Menurut pengadu yang berusia 27 tahun, dia terkejut apabila mendapati zip beg tangannya berada dalam keadaan terbuka.

“Apabila memeriksa di dalam beg, dompet saya sudah lesap ketika mahu membayar barang yang dibeli,” katanya.

Akibatnya pengadu yang berasal dari sebuah rumah panjang di Hulu Durin dekat sini kerugian wang tunai RM400 selain kehilangan kad pengenalan, lesen memandu kelas D, dua kad ATM Bank dan kad MyKid bayinya.

Pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu sekitar tengah hari semalam.

Seorang lagi wanita berumur 44 tahun membuat laporan polis selepas menjadi mangsa seluk saku di Pasar Sentral Sibu di sini pagi kelmarin.

Pengadu turut melaporkan kehilangan kad pengenalan, sedikit wang tunai dan dokumen peribadi lain.

Pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Lanang sekitar jam 11.30 pagi kelmarin.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sibu turut menyentuh mengenai kes seluk saku yang kerap berlaku menjelang musim perayaan.

Katanya orang awam diminta berwaspada ketika membeli-belah di tempat awam yang sesak.

Beliau berharap orang ramai tidak leka atau cuai ketika berada di Pasar Sentral Sibu terutama pasar raya atau tempat tumpuan awam kerana penjenayah seluk saku mengintai dan mencari habuan mereka.

Beliau juga berkata akan mencari jalan penyelesaian untuk menangani kes seluk saku di bandar ini.

“Salah satu daripadanya meletakkan poster-poster besar di tempat strategik mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap penyeluk saku,” katanya.

Advertisement