Anda di sini

Sedia maklumat terkini siasatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa menteri muda

Advertisement

KUCHING: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Alan Ling menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyediakan maklumat terkini mengenai perkembangan penyiasatan terhadap pertuduhan perlakuan rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap seorang menteri muda.

Jelasnya menerusi kenyataan akhbar semalam, penyiasatan tersebut merupakan antara yang berprofil tinggi setakat ini kerana ia membabitkan ahli politik di dalam negeri.

“Menteri muda berkenaan akhirnya memberi komen daripada terus berdiam, tetapi kenapa SPRM masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hasil penyiasatan kes itu?” soalnya.

Alan memberitahu, terdapat kekurangan terhadap profesionalisme daripada pihak SPRM selepas mengambil kewajaran badan itu mengumumkan pembekuan akaun bank membabitkan menteri muda dan menjadi tajuk akhbar pada 12 Mei lalu, malah kenyataan SPRM itu juga telah direkodkan.

“Satu bulan setengah telah berlalu, tetapi kenapa sehingga kini SPRM masih berdiam?” soalnya.

Alan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, siasatan kes itu mendapat perhatian dan tanda tanya daripada orang ramai yang sememangnya ingin mengetahui hasil siasatan pihak SPRM.

“Saya pasti, masyarakat ingin mengetahui sama ada SPRM akan mendakwa beliau (menteri muda) atas kesalahan itu.

“Jika tidak, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menjelaskan kepada beliau dan orang ramai daripada terus berdiam tanpa sebarang pengumuman yang akan berterusan memberi implikasi terhadapnya yang dikatakan terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu, malah ia juga dilihat tidak adil kepada menteri muda itu sendiri,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan SPRM apabila pertuduhan perlakuan rasuah yang pertama telah dilaporkan pada September 2013, suruhanjaya hanya merekod kenyataan dan kelihatan baharu menjalankan siasatan Mei tahun ini.

“Sehingga kini, seharusnya SPRM telah dapat mengumpul bukti dan maklumat yang mencukupi sebagai bukti dakwaan atau hasil siasatan (sekiranya benar) menteri muda itu tidak terlibat dalam kes tersebut.

“Sebarang penangguhan terhadap pengumuman perkembangan terbaharu siasatan hanya akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai, malah secara tidak langsung ia juga menimbulkan pandangan negatif masyarakat terhadap SPRM,” tambahnya.

Advertisement