Anda di sini

Kejayaan, keberkesanan sekolah terletak di bahu guru besar: Lee

Advertisement

KUCHING: Kejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah terletak di bahu guru besar, kata Menteri Muda Perhubungan dan Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

“Guru besar merupakan individu paling penting dalam sekolah dan peranan mereka meliputi ruang lingkup yang luas serta pelbagai bidang pengurusan dalam sekolah.

“Oleh itu, perlu bagi mereka diberikan kursus serta latihan sebaiknya termasuk bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina yang tiada peruntukan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan penyerahan dana berjumlah RM20,000 kepada Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Rendah Aliran Bahasa Cina di Bangunan Baitulmakmur (Masja) di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusinya Ong Siaw Kiong memaklumkan bahawa peruntukan tersebut amat bermakna bagi menganjurkan Program Kepimpinan Guru Besar di Miri dan menghantar pelajar mengikuti Pertandingan Syarahan dan Kuiz Peringkat Negeri di Ipoh, Perak.

Tambahnya, dana pendidikan itu besar maknanya untuk meningkatkan kredibiliti dan standard guru dalam pengurusan serta pengajaran dan pembelajaran di sekolah negeri ini secara keseluruhannya.

“Terima kasih kepada Datuk Lee kerana sumbangan dana ini sungguh bermakna kepada kami dan pendidikan sekolah Cina khusunya,” jelasnya.

Menyentuh mengenai kewangan, Ong memberitahu, persatuan sungguh memerlukan dana untuk menganjurkan program dan pengurusan.

Tambahnya, dana itu akan digunakan bagi penganjuran program, makanan, tempat tinggal, pengangkutan dan perbelanjaan berkaitan program berkenaan.

“RM10,000 daripada dana yang disampaikan itu sebagai tambahan peruntukan sebanyak RM5,000 disampaikan beliau kepada persatuan tahun lepas bagi program kepimpinan tersebut,” katanya.

Turut hadir Setiausaha dan AJK Persatuan Tay Kui Choo dan Then Khiun Kiaw.

Advertisement