Anda di sini

Ancam bakar stesen minyak kerana RM200

Advertisement
 Pegawai polis sedang melakukan pemeriksaan di kaunter stesen minyak tersebut.

SIASAT: Pegawai polis sedang melakukan pemeriksaan di kaunter stesen minyak tersebut.

KUCHING: Dua perompak mengugut akan membakar sebuah stesen minyak dengan bertindak menyimbah minyak RON95 di atas kaunter untuk memaksa dua pekerja stesen tersebut memenuhi permintaan mereka.

Insiden dilaporkan berlaku di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini ketika dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal tiba di stesen minyak tersebut dan terus bergerak ke kaunter bayaran sekitar jam 12.45 pagi.

Menurut sumber, seorang daripada suspek kemudian bertindak menyimbah minyak ke atas kaunter tersebut dan terus menyuruh dua pekerja di kaunter berkenaan menyerahkan wang tunai sebanyak RM200 kepada mereka.

“Suspek mengugut akan membakar stesen minyak tersebut sekiranya pekerja terbabit enggan memberikannya wang RM200.

“Risau berlaku perkara yang tidak diingini, pekerja stesen minyak tersebut segera mendapatkan wang yang diminta dan terus menyerahkannya kepada suspek,” kata sumber.

Selepas mendapatkan wang tersebut, suspek segera melarikan diri ke arah rakannya yang menunggu di atas motosikal dan turut dilihat memegang senjata tajam.

“Kedua-dua suspek beredar dari tempat kejadian dengan menunggang sebuah motosikal, dipercayai jenis Honda Wave berwarna hitam,” kata sumber.

Laporan polis telah dibuat oleh seorang daripada pekerja stesen minyak tersebut yang berusia 20 tahun untuk siasatan lanjut.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki membuat laporan polis selepas rantai lehernya bernilai mencecah RM10,000 diragut di sebuah kedai makan di Tabuan Jaya.

Mangsa, 31, dan berasal dari Jalan Urat Mata, semasa kejadian dikatakan sedang makan apabila dia didatangi seorang lelaki dari arah belakang dan terus bertindak meragut rantai lehernya sekitar jam 7 malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa tidak sempat berbuat apa-apa dan suspek yang bertopi keledar itu kemudian terus beredar menunggang sebuah motosikal.

Siasatan pihak polis berhubung kejadian masih dijalankan.

Advertisement