Anda di sini

Acara larian 21km dimasukkan dalam Animazing Race 2015

Advertisement

KUCHING: Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) akan memasukkan acara larian 21 kilometer (km) ke dalam Animazing Race 2015 yang akan berlangsung pada 13 September akan datang.

Presidennya Dona Wee berkata, kategori tersebut diperkenalkan tahun ini atas permintaan memberangsangkan daripada pelari yang menyertai Animazing Race tahun lalu.

“Tahun ini kami akan membuka penyertaan bagi kategori larian 21km lelaki dan wanita dan berharap ia mampu menarik lebih ramai pelari dalam acara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan kunjungan hormat terhadap Menteri Muda Perhubungan dan Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin di Bangunan Baitulmakmur (Masja) di sini, semalam.

Selain kategori baharu itu, Dona menjelaskan bahawa kategori sebelum ini iaitu 10km lelaki terbuka, 10km wanita terbuka, 10km lelaki veteran dan 5km Fun Run akan tetap dipertandingkan.

Justeru, beliau mempelawa orang awam untuk menyertai larian ini kerana hadiah termasuk wang tunai, pingat dan kemeja-T akan diberikan.

“Kami tampil dengan rekaan pingat yang menarik kali ini dan akan memberikannya kepada 10 pelari terpantas dalam kategori 21km dan 10km.

“Pingat tahun ini lebih menarik dan akan ditampilkan nanti,” ujarnya sambil menambah, tahun lepas SSPCA menawarkan pingat berupa tapak kaki kucing kepada pelari terpantas dan menjadi rebutan peserta.

Menurut Dona, larian tahun ketiga itu akan berlangsung di Pusat Kovensyen Borneo Kuching (BCCK).

“Masa pelepasan larian adalah pada jam 4.00 pagi.

“Setiap penyertaan dikenakan yuran dalam RM40 hingga RM90 setiap seorang,” jelasnya sambil menambah bahawa yuran pertandingan adalah bagi membina Animal Village dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Dalam perkembangan lain, Dona memaklumkan bahawa SSPCA kini mempunyai 250 haiwan di pusat penjagaannya dan memerlukan perbelanjaan RM28,000 setiap bulan bagi membeli makanan dan menyediakan rawatan kepada mereka.

“Walaupun larian ini tidak melibatkan pelari membawa haiwan peliharaan masing-masing, tetapi pelari digalak menggunakan pakaian bertemakan haiwan kerana hadiah turut diberikan kepada pakaian pelari terbaik,” tambahnya.

Borang penyertaan boleh didapati di www.animazingrace.com dan di Planet Conventions and Events Sdn Bhd di No.10, Lorong Parklane, di sini.

Bukan itu sahaja, borang penyertaan boleh diperoleh di cawangan Lea Sports Centre (LSC) seluruh negeri, selaku penaja rasmi Animazing Race 2015.

Sehubungan itu, pencinta haiwan dan pelari yang berminat bolehlah menghubungi Alcila dan Fifi di talian 082-250400 untuk maklumat lanjut.

Advertisement