Anda di sini

Kabinet perlu kaji semula penguatkuasaan EIA: Kurup

Advertisement

Banyak kawasan diterokai tidak patuhi peraturan EIA

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata kabinet perlu mengkaji semula pelaksanaan dan  penguatkuasaan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata kajian itu perlu kerana terdapat banyak kawasan yang diterokai tidak mematuhi syarat peraturan EIA yang telah ditetapkan.

“Sebelum membuka tanah, maka perlu mendapat laporan EIA terlebih dahulu untuk mengelak sesuatu seperti yang dialami di Kundasang dan Sungai Kadamaian mengalami banjir lumpur,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan bantuan kemanusiaan bencana gempa bumi Ranau, malam kelmarin.

Katanya akibat kejadian banjir lumpur itu, banyak penduduk mengalami kerugian dan kehilangan harta benda selain terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang menyebabkan mereka mengalami tekanan.

“Banjir baru-baru ini, bukan sebarang banjir tetapi banjir yang membawa lumpur, sisa-sisa kayu yang banyak dan terkumpul,” katanya.

Menurutnya, susulan itu negeri ini menghadapi dua situasi bencana iaitu mangsa ekoran gempa bumi pada 5 Jun lepas dan diikuti banjir lumpur.

Kurup berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga bersedia menghantar beberapa pegawai bagi memberi khidmat nasihat dan kaunseling.

Pada majlis itu, sumbangan wang diterima daripada pertubuhan badan bukan kerajaan Sabah Unity Friendship Association (SUFA) yang mewakili beberapa pihak termasuk Tan Sri Zaleha Ismail, Loongsyn, Saba Softwood Berhad, Dr.Kiran’s Family & Friends, Susie Choong Yin Moi, Sabah Dart Player dan Nexge Biopharma HK LTD NXG Shared Service Sdn Bhd. — Bernama

Advertisement