Anda di sini

Semua agensi mesti siap sedia hadapi sebarang bencana: KM

Advertisement

KOTA KINABALU: Semua Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah dan pegawai daerah diarah supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk bencana alam termasuk banjir lumpur, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, semua agensi berkenaan perlu melaksanakan arahan berkenaan dan segera bertindak sekiranya berlaku bencana seperti banjir lumpur yang berlaku petang kelmarin di Ranau, Kota Belud dan Tuaran.

“Saya telah meminta semua pengawai daerah dan pengerusi bencana daerah bersama jawatankuasanya dan agensi-agensi yang terlibat untuk membantu penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian anugerah biasiswa cemerlang negeri siri ke-26 di sini, semalam.

Katanya, tindakan pantas perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan penduduk yang terjejas akibat bencana terjamin.

“Yang penting kita mahu menyelamatkan nyawa, khususnya penduduk yang tinggal di daerah yang terjejas bencana dan ini saya telah arahkan pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan bagi memastikan keselamatan penduduk yang terjejas.

“Penduduk terjejas teruk dalam bencana sekiranya perlu dipindahkan, kita akan pindahkan ke kawasan yang lebih selamat, apa juga tindakan yang perlu diambil akan diambil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata, sesi persekolahan berjalan seperti biasa meskipun terdapat sekolah yang terjejas ekoran banjir lumpur yang melanda tiga daerah di negeri ini.

“Saya dapati Sekolah Kebangsaan Kiau (SK Kiau) antara yang terjejas akibat banjir lumpur yang melanda petang semalam (kelmarin), namun masa berlaku bencana para pelajar telah balik ke rumah.

“Hari ini (semalam), sekolah dibuka seperti biasa dan pelajar, para guru serta penduduk kawasan berdekatan bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah yang dikotori banjir lumpur,” katanya.

SK Kiau menempatkan 220 pelajar dan 20 guru serta lima orang kakitangan bukan pengajar.

Beliau berkata, sekolah yang terjejas dengan bencana akan ditutup dengan syarat terdapat arahan jabatan atau agensi keselamatan.

Katanya, guru kaunseling daripada jabatan pendidikan telah dihantar ke sekolah berkenaan untuk mengadakan satu sesi khas kaunseling kepada guru dan pelajar yang trauma.

Dalam perkembangan lain, Jame berkata, sebuah blok tiga tingkat menempatkan 850 pelajar dan guru di Sekolah Kebangsaan Inanam Laut, terpaksa ditutup berikutan tidak selamat digunakan ekoran gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter 5 Jun lalu.

“Kerosakan dan keretakan pada blok sekolah itu berlaku disebabkan gempa, dan susulan itu 18 khemah sementara dibuka sebagai kelas sementara bagi proses pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Beliau berkata, bangunan sementara akan dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap selewat-lewatnya dalam tempoh setahun. — Bernama

 

Advertisement