Anda di sini

MPN fokus jurang perbezaan masyarakat pedalaman di Malaysia

Advertisement

KOTA KINABALU: Satu kajian dilakukan Majlis Profesor Negara (MPN) akan memberikan fokus terhadap jurang perbezaan terhadap masyarakat pedalaman Sabah dalam era pembangunan dicapai Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, Malaysia menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dalam masa lima tahun dan pembangunan yang dicapai negara ini tidak boleh meninggalkan mana-mana pihak.

“Misi kami buat masa ini adalah datang ke dua buah kampung yang dipilih khususnya di kawasan Kota Marudu, kita akan mendengar suara mereka dan mendapat gambaran yang sebenar mengenai masyarakat di pedalaman.

“Kita mahu semua pihak terlibat sama dalam pembangunan negara ini tanpa mengira latar belakang, sekiranya kerajaan tidak campur tangan dalam jurang yang wujud itu, ia pasti akan menjadi semakin lebar pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media yang diadakan pada malam Jumaat lalu.

Beliau berkata, MPN mempunyai misi untuk membuat kajian itu, hasil kajian itu akan dicadangkan kepada kerajaan dan MPN akan mencadangkan penambahbaikan atau menentukan polisi yang sesuai bagi menangani isu itu.

Raduan yang juga Pemikir Negara berkata, MPN datang untuk memahami kedudukan masyarakat di negara khususnya Sabah dan Sarawak.

Gambaran sebenar kedudukan masyarakat di pedalaman  diperlukan bagi mendalami apa sahaja masalah yang menjadi beban mereka.

“Kami akan mendengar semua masalah tidak kira ia masalah kos barangan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pendapat mereka mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sejauh mana sentimen-sentimen di negeri dan persekutuan memberikan kesan terhadap mereka, politik dan sebagainya termasuk soal pendidikan, ekonomi dan infrastruktur sekeliling.

“Dalam pendidikan adakah masyarakat di kampung yang ditujui itu mendapat peluang yang sama dengan pelajar di bandar?

“Sudah tentu hasil kajian ini akan sampai kepada pengetahuan kerajaan kerana MPN adalah sebuah badan yang ditubuhkan kerajaan dan menjadi pemikir kepada negara serta membantu pembentukan polisi-polisi dan dasar-dasar negara,” katanya.

Katanya, MPN mempunyai kerjasama yang baik dengan Perdana Menteri dan MPN sememangnya terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, badan itu bebas dan sekiranya dapatan kajian itu bersifat negatif ataupun positif, semuanya akan dikemukakan. Ahli dalam MPN bukan ahli politik dan MPN tidak mempunyai agenda terselindung dan menyalurkan maklumat yang betul kepada masyarakat.

“Kita ingin tahu sejauh mana kos sara hidup masyarakat di pedalaman, dengan pendapatan yang tidak stabil serta kos sara hidup yang tinggi.

“Sasaran utama MPN adalah ingin tentukan jurang ekonomi yang diharapi masyarakat di negara ini tidak jauh,” katanya.

Menurutnya, secara hakikatnya semua pihak perlu terima realitinya bahawa ada negeri yang masih jauh ketinggalan di belakang dan perlu dipastikan bahawa jurang yang wujud itu tidak terlalu besar antara masyarakat di seluruh Malaysia.

Katanya, misi kali ini akan melibatkan 10 hingga 15 profesor dan juga dapat bantuan daripada akademik-akademik Universiti Malaysia Sabah sebagai rakan strategik.

Advertisement