Anda di sini

Bapa perlu mantapkan ilmu kebapaan hadapi globalisasi

Advertisement

SUNGAI PETANI: Golongan bapa perlu memantapkan ilmu kebapaan sebagai persiapan mengharungi dunia moden dan globalisasi, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata tugas sebagai seorang bapa merupakan pekerjaan sepanjang hayat yang diperoleh secara automatik apabila bergelar bapa dan ilmu itu turut diperturunkan secara tradisional daripada ayah, anggota keluarga dan rakan-rakan yang berpengalaman.

“Dalam hal ini, kerajaan melalui kementerian serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) merangka dan melaksanakan kursus keibubapaan bagi membincangkan peranan bapa secara khusus,” katanya pada majlis sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan di Dataran Amanjaya Mall, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Majlis sempena Jelajah Keluarga Bahagia 2015 yang bertemakan ‘Saya Sayang Bapa Saya’ itu dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Rohani berkata selain itu, ilmu kebapaan juga banyak diterapkan melalui program modul pendidikan kekeluargaan yang lain seperti modul Pancaran Kasih (Kursus Kebapaan), IlmuKeluarga@LPPKN dan modul praperkahwinan, Smartstart, yang dilaksanakan LPPKN.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan tinjauan pendapat yang dilaksanakan LPPKN semasa sambutan Hari Bapa 2013 dan 2014 mendapati peratusan amat tinggi iaitu masing-masing 97.2 peratus dan 93.8 peratus responden daripada kalangan bapa menyatakan mereka dihargai oleh anak-anak. — Bernama

Advertisement