Anda di sini

2,160 outlet francais Malaysia di 55 negara

Advertisement

Usahawan digalak terokai sektor baharu terutamanya ICT, pelancongan, teknologi hijau

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 jenama francais Malaysia telah menembusi pasaran di lebih 55 negara dengan jumlah outlet mencecah 2,160, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Di Malaysia, beliau berkata 773 francais telah didaftarkan di bawah kementerian setakat ini.

“Sektor makanan dan minuman mendahului dengan 36 peratus, diikuti sektor perkhidmatan dan penyelenggaraan dengan 12 peratus daripada keseluruhan francais berdaftar.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin menggalakkan usahawan francais untuk menerokai sektor baharu, terutamanya dalam ICT, pelancongan dan teknologi hijau,” katanya dalam ucapan pada Francais Antarabangsa Malaysia 2015 (FIM 2015) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Pameran dan Persidangan FIM 2015 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Mohd Latip Sarrugi.

Hasan berkata sejak beberapa tahun lepas, kerajaan telah mempromosikan francais sebagai perniagaan pilihan dalam kalangan pemilik perniagaan dan kerjaya pilihan sebagai usahawan di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata pameran seperti FIM dan pelbagai program jerayawara francais  akan diteruskan, dan kalangan francisor tempatan digalakkan untuk merebut peluang itu untuk mempromosikan perniagaan mereka.

“Tema ‘Leap Beyond the Limits’ merupakan cerminan sebenar hala tuju yang perlu diambil oleh francais tempatan pada ketika ini.

“Saya percaya menjelang tahun 2020, industri francais akan diiktiraf sebagai satu daripada pemangkin pertumbuhan ekonomi negara serupa dengan negara maju seperti Australia, Perancis dan Amerika Syarikat,” katanya.

Hasan berkata kementerian akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk merumuskan strategi efektif bagi memperluaskan pasaran untuk francais tempatan.

Katanya kerajaan juga memberikan bantuan berterusan dalam bentuk geran dan kemudahan untuk membolehkan pertumbuhan perniagaan menerusi francais.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya Hasan berkata, kementerian tidak ‘memilih bulu’ dalam setiap operasi yang dijalankan di premis-premis perniagaan.

“Semua pihak perlu perbetulkan persepsi bahawa kementerian memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap peniaga yang menyeleweng. Semua yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau mengulas keluhan peniaga di Uptown, Shah Alam yang menyelar tindakan pihak berkuasa menyerbu premis perniagaan mereka dan mendakwa ia tidak adil kerana serbuan hanya dilakukan di premis perniagaan Melayu. — Bernama

Advertisement