Anda di sini

DAP perlu dengar penjelasan sebelum gesa exco PAS letak jawatan: Mohd Amar

Advertisement

KOTA BAHARU: DAP perlu mendengar penjelasan terperinci PAS sebelum terburu-buru menggesa anggota PAS meletakkan jawatan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata DAP tidak seharusnya melontarkan sebarang pandangan tanpa memahami usul yang dibawa Dewan Ulama parti itu mengenai tindakan memutuskan hubungan dengan DAP, semasa Muktamar Tahunan PAS ke-61 minggu lepas.

Beliau berkata ini kerana Majlis Syura Ulama PAS belum membuat sebarang keputusan untuk memutuskam kerjasama dengan DAP dalam pakatan pembangkang.

“Itu masalah dia (DAP yang mengambil serius usul putus hubungan), bukan masalah kita.

“Dia sepatutnya kena faham dulu kerana keputusan itu (putus hubu-ngan) belum muktamad dan hanya cadangan. Malah, Majlis Syura Ulama belum bermesyuarat lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Islam di sini malam kelmarin.

Mohd Amar melahirkan rasa kesalnya terhadap reaksi DAP dengan ber-kata:”Yang menjadi masalah sekarang ini, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) sudah mendahului seperti pepatah Inggeris, ‘jump the gun’ tanpa mendapatkan penjelasan daripada kami”.

Pimpinan DAP sebelum ini menyarankan agar beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor.

Ia berikutan keputusan Dewan Ulama yang sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutus-kan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang. — Bernama

Advertisement