Anda di sini

Taman-taman Sabah buka tabung bencana untuk Malim Gunung

Advertisement

KUNDASANG: Taman-Taman Sabah (TTS) semalam mewujudkan Tabung Bencana Gempa Bumi Gunung Kinabalu untuk disalurkan kepada malim gunung dan anggota keluarga malim gunung yang terkorban dalam insiden Jumaat lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Kewangan, Pentadbiran dan Sumber Manusia TTS Daring Laban berkata tabung itu ditubuhkan berikutan permintaan banyak pihak termasuk dari luar negara yang mahu menyalurkan bantuan kewangan kepada malim gunung.

Bercakap kepada Bernama di sini semalam, Daring berkata sumbangan boleh disalurkan kepada Lembaga Pemegang Amanah TTS menerusi akaun bernombor 101050010000790 (Alliance Bank) dan sebarang pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi 019-8210202 atau 019-8977553.

Beliau berkata tabung itu akan menerima sumbangan berbentuk kewangan dan pihak yang ingin memberi sumbangan seperti barangan keperluan boleh menyalurkannya kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu.

Daring berkata berikutan penutupan aktiviti pendakian selama tiga minggu akibat kejadian gempa bumi Jumaat lepas, ramai malim gunung hilang punca

pendapatan bagi menyara kehidupan mereka dan keluarga.

Justeru katanya, beberapa pendekatan dikenal pasti untuk membantu malim gunung antaranya mengambil mereka untuk kerja pembaikan yang melibatkan laluan ke Gunung Kinabalu.

“Pendekatan itu kami fikirkan sesuai bagi membantu mereka kerana tidak diketahui berapa lama pendakian ke Gunung Kinabalu dihentikan, sekiranya keadaan masih bahaya penutupan akan dilanjutkan,” katanya.

Sementara itu, Daring berkata enam kakitangan TTS yang bertugas di kawasan puncak Gunung Kinabalu telah dipindahkan dan bertugas sementara di bahagian lain di Taman Kinabalu.

Katanya mereka merupakan petugas di Pos Kawalan di Pondok Layang-Layang dan Pondok Laban Rata yang musnah akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lepas.

Setakat kelmarin, tragedi itu meragut 16 nyawa, termasuk lapan warga Singapura yang mendaki Gunung Kinabalu. Dua lagi mangsa masih hilang.

Terdapat 250 malim gunung dan 50 porter (pengangkat barang) berdaftar di bawah Persatuan Malim Gunung Kinabalu. — Bernama

Advertisement