Anda di sini

Hampir 500,000 transaksi pendaftaran kenderaan secara dalam talian: Liow

Advertisement

CAMERON HIGHLANDS: Sehingga kini hampir 500,000 transaksi pendaftaran kenderaan dilakukan secara dalam talian, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata menerusi sistem itu, orang ramai tidak perlu bersusah payah hadir untuk membuat pendaftaran kenderaan, sekali gus  mengurangkan kesesakan di kaunter JPJ.

“Selepas proses pendaftaran secara dalam talian selesai, pihak penjual, pengedar atau pemilik boleh hadir ke kaunter JPJ untuk membuat cetakan Perakuan Pendaftaran Kenderaan (geran) dan disk Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat JPJ cawangan Cameron Highlands di Tanah Rata di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata JPJ juga memperkenalkan pendaftaran kenderaan secara tanpa sempadan  yang membenarkan pendaftaran dibuat di mana-mana pejabat JPJ di seluruh negara, kecuali di pulau bebas cukai Labuan dan Langkawi.

“Sistem ini memudahkan serta mengurangkan kos orang ramai. Sebagai contoh nak pakai nombor pendaftaran negeri Johor, boleh membuat pendaftaran di pejabat Cameron Highlands. Sebelum ini nak pakai nombor pendaftaran Johor perlu mendaftar di Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Liow mengumumkan kementerian membenarkan penggunaan laci belakang tidak lebih daripada dua meter pada lori membawa sayuran di Cameron Highlands susulan rayuan daripada pihak industri berkaitan.

“Pembinaan dan penggunaan ‘rear drawer’ (laci belakang) itu hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh JPJ. Garis panduan tersebut akan mula dilaksanakan pada 1 Julai depan,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga tiada halangan untuk memberi kebenaran bagi pemasangan pagar sisi tambahan dan pagar besi belakang pada lori membawa sayuran.

Selain itu, beliau berkata pengurangan kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 90 peratus bagi kenderaan membawa sayuran digunakan di Cameron Highlands yang diluluskan 28 Okt 2012 dan akan berakhir pada 27 Okt 2017, bertujuan mengurangkan kos operasi mereka.

“Persatuan yang terlibat perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pengangkutan bagi melanjutkan tempoh pengurangan kadar berkenaan sebelum kelulusan sedia ada berakhir,” katanya.

Sementara itu, Liow yang juga Presiden MCA berkata parti itu bersedia menghantar Skuad Bantuan Krisis (CRSM) untuk membantu mangsa gempa bumi di Sabah.

Katanya beliau telah mengarahkan timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong pergi ke Sabah untuk meninjau jenis bantuan yang diperlukan mangsa gempa bumi yang berlaku pada Jumaat lepas. — Bernama

Advertisement