Anda di sini

Kejohanan futsal cungkil bakat baharu di peringkat akar umbi, kata Halel

Advertisement

SIBU: Sempena dengan lawatan dan perlawanan persahabatan antara pasukan Chameleon Futsal Academy (CFA) Sibu dengan pasukan futsal Australia, satu Kejohanan Futsal Remaja 12 dan 14 Tahun akan berlangsung pada 9 dan 10 Jun ini, bertempat di Gelanggang Futsal Kementerian Pembangunan Sukan (KPS), Bukit Lima.

Kejohanan futsal mini ini dianjurkan bersama oleh Pejabat KPS Sibu, Kelab Sukan Rekreasi Taman Rejang (KSRTR) dan CFA.

Menurut Pengerusi KSRTR Halel Mohd Ibrahim, objektif kejohanan bagi mencungkil bakat-bakat baru di peringkat akar umbi, khususnya dalam permainan futsal dalam kalangan remaja di Bahagian Sibu.

“Atas minat dan kesungguhan kami dalam melahirkan pemain futsal yang berkualiti, kami berjaya bekerjasama dengan Viking Sarawak menjemput pasukan futsal dari luar negara untuk bermain di Bahagian Sibu.

“Ini bertujuan memberi peluang kepada remaja-remaja tempatan untuk bersaing dengan pasukan futsal luar negara, khususnya dari Persatuan Futsal Australia (AFA) agar pasukan tempatan tidak dianggap pasukan jaguh kampung semata mata,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Halel memberitahu, ini adalah tahun ketiga pasukan AFA datang dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Chameleon Futsal Sibu.

“Pada tahun lepas, kita menang satu perlawanan dan kalah satu perlawanan lagi.

Pada tahun ini, pasukan AFA hanya menghantar satu pasukan pilihan sahaja,” ujarnya sambil memberitahu perlawanan dijangka bermula jam 3 petang pada 10 Jun.

Menyentuh mengenai kejohanan futsal, beliau berkata dua kategori akan dipertandingkan iaitu Kategori 12 Tahun dan 14 Tahun.

Juara dan naib juara keduadua kategori akan menerima hadiah wang tunai, piala dan medal.

Tempat ketiga bersama pula akan menerima piala dan medal.

Untuk keterangan lanjut dan borang penyertaan, boleh menghubungi Halel melalui talian 013-8117850 atau 084- 250154.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 7 Jun ini, jam 3 petang.

 

Advertisement