Anda di sini

Dua aksi terakhir K-league penentu pasukan layak ke Liga Juara-Juara 2015

Advertisement

KUCHING: Dua perlawanan terakhir kempen K-league iM 2015 bakal menjadi penentu pasukan mana yang layak menempah slot ke saingan Liga Juara-Juara 2015.

Tumpuan kini terarah kepada tiga pasukan menduduki tempat kedua hingga keempat iaitu Petra Giant FC dengan 22 mata, diekori KKR Axis dengan 21 mata dan JPAM SJN FC dengan 20 mata.

Secara matematik, kelebihan masih belum memihak kepada Petra Giant FC kerana pasukan itu berdepan JPAM SJN FC pada Khamis ini dan KKR Axis pada 13 Jun nanti.

Ini pastinya menjanjikan pertembungan menarik kerana JPAM SJN FC dan Axis turut mengintai peluang untuk memburu tempat kedua selepas FC Brooke bakal mengesahkan kejuaraannya minggu ini.

FC Brooke kini mengumpul 25 mata dilihat terlalu sukar digugat dan hampir pasti merampas kejuaraan daripada DBKU jika menundukkan I.E.M FC pada Ahad ini.

Sementara itu, perebutan memburu slot ke saingan Piala Datuk Amar Abang Johari bagi pasukan berada dalam kelompok bawahan masih terbuka luas.

Ketika ini, pasukan mengukuhkan slot ke kejohanan tersebut ialah FC Brooke, Petra Giant FC, KKR Axis, JPAM SJN FC, Riaz FC, Demak Laut FC, DBKU dan I.E.M FC.

Namun, kedudukan I.E.M FC masih belum selamat kerana pasukan yang berada di tangga kesembilan dan ke-10, Borneo Island dan KSK Satok masih berpeluang memintas kerana mereka hanya dibezakan dengan satu dan dua mata.

Saingan liga akan bersambung petang esok dengan Petra Giant FC turun menentang JPAM SJN FC, sementara Borneo Island FC berdepan Demak Laut FC pada Jumaat ini.

Pada Sabtu, Riaz melayan KKR Axis disusuli pertemuan antara OBYU Realty dan DBKU.

Manakala MARR SC menentang KSK Satok dan FC Brooke berdepan I.E.M. FC pada Ahad.

 

Advertisement