Anda di sini

Kaamatan Zon Entilibon disambut meriah

Advertisement

WARISAN BUDAYA: Albert (tengah) mengisi padi ke dalam bakul tanda simbolik perasmian Kaamatan Zon Entilibon, Tongod 2015.

Cetusan idea belia untuk martabatkan budaya dan tradisi yang diwarisi turun-temurun

KUAMUT: Majlis sambutan Pesta Kamataan Peringkat Zon Entilibon Daerah Tongod 2015 disambut cukup meriah oleh warga Entilibon dan seluruh masyarakat daerah itu yang berhampiran.

Idea untuk menganjurkan majlis itu merupakan cetusan dan cantuman idea belia di zon Entilibon yang bertujuan memelihara dan memulihara serta berusaha untuk memartabatkan nilai budaya dan tradisi yang diwarisi turun-temurun ke arah yang lebih dinamik dan cemerlang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Felix Joseph Saang, ia satu wadah yang boleh menyatupadukan masyarakat rumpun Pasokmomogun yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

“Semoga perpaduan antara suku kaum akan terus terpelihara dan terjaga di kawasan Entilibon dan seluruh Daerah Tongod.

“Saya amat kagum dengan semangat belia zon Entilibon yang begitu tinggi dan amat komited untuk menganjurkan pesta Kaamatan kali ini.

“Ternyata belia masa kini walaupun berhadapan arus pembangunan ataupun arus perubahan yang serba canggih, mereka masih lagi ingin memastikan agar warisan budaya yang diturunkan sejak zaman-berzaman akan sentiasa terpelihara dan terjaga,” katanya.

Felix juga berterima kasih kepada para pemimpin di daerah itu khususnya Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar dan ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah kerana sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada para Belia Tongod agar terus maju.

Pengerusi pelaksana Elisa Samun yang mewakili Belia Zon Entilibon pula berkata, jika tidak mengambil langkah awal, pihaknya risau suatu saat nanti, budaya dan tradisi mereka akan pudar dan beransur hilang serta akhirnya pupus dan hanya menjadi satu kenangan.

Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana orang ramai yang hadir bukan sahaja daripada mukim Entilibon malah dari mukim lain di sekitar Daerah Tongod.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Penerangan UPKO Nasional Albert Bingkasan, mewakili Pemangku Presiden UPKO Datuk Madius Tangau.

Albert mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Belia Zon Entilibon dan kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan majlis berkenaan.

Sementara itu, Felix berkata penganjuran perayaan itu mendapat perhatian dan respons positif daripada pelbagai pihak di Daerah Tongod, dan dikhabarkan sudah ada pihak yang ingin menganjurkan Pesta Kaamatan belia yang lebih besar pada tahun hadapan.

Kreativiti persatuan-persatuan belia zon Entilibon kini dicontohi dan telah menjadi ‘benchmark’.

Kehadiran orang ramai yang memenuhi dewan Kampung Simpang Entilbon telah menghidupkan suasana Kaamatan dengan cukup meriah.

Sukan tradisi yang diadakan sejak dari awal pagi turut menceriakan suasana Kaamatan.

Eva Venessa Joses telah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Peringkat Zon Entilibon, Daerah Tongod dan Januin Rambakon muncul juara Sugandoi dalam penganjuran kali ini.

Artis tempatan yang tidak asing lagi Ridah turut menghiburkan orang ramai.

Advertisement