Anda di sini

Perbuatan menyamar kutip derma dikesali

Advertisement

Oleh Reno Benjamin //

SIBU: Perbuatan pihak tertentu mengutip derma untuk kepentingan diri dengan berselindung di sebalik Kempen Kutipan Tabung Pahlawan amat dikesali kerana perbuatan itu menimbulkan rasa tidak percaya masyarakat terhadap persatuan veteran atau bekas tentera.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS), Thomas Ling berkata beliau menerima aduan daripada masyarakat mendakwa menerima panggilan daripada individu tertentu meminta derma.

“Individu terbabit menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan serta memperkenal diri sebagai ejen dilantik membantu bekas tentera mengumpul dana atau tabung tersebut.

“Namun, individu terbabit menggunakan bahasa kasar dan kurang sopan sehingga ada mengugut. Saya mengarahkan mangsa membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Hadir sama Timbalan Presiden PVTMS, Patros Tandang, Naib Presidennya, Idres Adam serta Pegawai Penerangan, Igai Chak.

Menurut Thomas yang juga Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Cawangan Sarawak, perbuatan itu tidak melibatkan ahli-ahli PVTMS atau PBTLDM.

“Kita ingin menjelaskan di sini kepada masyarakat, PVTMS dan PBTLDM tidak terlibat dalam perkara tersebut. Jika ada pihak minta derma menggunakan nama persatuan atau Kempen Kutipan Tabung Pahlawan boleh menghubungi terus persatuan,” katanya sambil menambah PVTMS boleh dihubungi melalui talian 084-348872 atau 084-349755.

Kempen Kutipan Tabung Pahlawan 2014 dikendalikan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) ditetapkan bermula 1 November 2014 dan berakhir pada 31 Mac 2015.

“Ini bermakna mana-mana persatuan atau pihak membuat kutipan selepas tarikh itu serta menggunakan nama Kempen Kutipan Tabung Pahlawan adalah tidak sah serta menyalahi undang-undang.

“Dana atau derma yang dikutip itu juga kepentingan diri sendiri dan bukan persatuan. Selepas 31 Mac lalu mana-mana pihak tidak boleh membuat kutipan derma sehingga kempen bermula semula selepas pelancaran pada 31 Julai tahun ini,” jelas beliau.

Menurut Thomas, pihaknya membuat kutipan derma bermula 1 November, 2014 hingga 31 Mei 2015 sama seperti kutipan dilakukan PVATM.

Menyentuh mengenai Kempen Kutipan Tabung Pahlawan 2015, beliau berkata kempen peringkat negeri anjuran PVTMS berlangsung pada 9 Ogos 2015 di Hotel Kingwood dan dijadual dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

 

Advertisement