Anda di sini

Festival ‘busking’ di Tebingan Kuching bulan depan

Advertisement

Oleh Agnes Tugong//

 

KUCHING: Festival ‘busking’ iaitu salah satu aktiviti hiburan yang semakin popular pada masa kini akan diadakan di Tebingan Kuching pada bulan depan.

Penganjuran festival julung kalinya itu diumumkan oleh Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip pada sidang media di Tingkat 11, Menara SEDC di sini semalam.

Pada sidang media itu, Talib berkata ‘busking’ yang tidak jauh bezanya dengan aktiviti hiburan rakyat yang dilihat berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu produk tarikan pelancongan.

“’Busking’ tidak terhad kepada mana-mana individu atau kumpulan asalkan ada bakat sama ada bakat menyanyi, bermain alat muzik, magik atau apa jua bakat yang menghiburkan masyarakat.

“Sebagai contoh di New Zealand, apabila tiba cuti hujung minggu penuntut universiti akan menjalankan aktiviti ‘busking’ bagi mengisi masa lapang mereka secara faedah.

“Tetapi kali ini di Sarawak kita akan menjadikan ‘busking’ sebagai satu festival dan jika ia mendapat sambutan kita akan menjadikannya sebagai acara tahunan dan cuba masukkan dalam Kalendar Pelancongan,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar SEDC Edwin Abit, CEO Cinqasa Sdn Bhd Amin Aznizan, Eksekutif Penyiaran Cats.FM Azreen Keria dan Pengurus Besar Sara Urusharta Sdn Bhd Alan Poh.

Mengulas mengenai festival tersebut, ia merupakan anjuran pihak pengurusan Tebingan Kuching dengan Leema sebagai penaja dan Cats.FM sebagai radio rasmi.

Festival berbentuk pertandingan ini terbuka kepada mana-mana penghibur, individu atau kumpulan yang mempunyai bakat nyanyian, menari, magik, ahli muzik dengan yuran komitmen RM20.

Dalam pada itu, hanya 10 individu atau kumpulan terbaik akan dipilih untuk beraksi di pentas final pada 13 Jun depan bertempat di Godown Amphitheatre selepas pusingan awal pada 5 dan 6 Jun.

Pemenang tiga tempat teratas masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM800, RM500 dan RM300 berserta piala manakala finalis lain akan diberikan hamper.

Penaja iaitu Leema juga akan memberikan hadiah kepada persembahan paling popular dan mempromosikan acara itu menerusi laman Facebook ‘Leemabrand’ dan laman Instagram ‘Leemacrew.’

Borang penyertaan boleh diperolehi dari Kuching Town Souvenir, Aras 1, Komplek Beli-Belah Riverside dan Mahua Enterprise, Aras 1, Kompleks Beli-Belah Sarawak Plaza.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi pejabat Tebingan Kuching menerusi talian 082-426093 atau 019-8180888.

 

Advertisement