Anda di sini

Pantau kenderaan berat abai keselamatan pengguna jalan raya

Advertisement

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Datuk Samsudin Yahya menggesa pihak penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Raya negeri Sabah dan Polis Trafik untuk memantau kenderaan berat seperti lori tangki minyak.

Beliau berkata, kebanyakan pemandu lori tangki minyak tidak menitikberatkan keadaan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Tegas beliau, sikap pemandu suka memberhentikan lori tangki di tepi jalan raya mengundang bahaya kepada kenderaan kecil yang lain.

“Saya minta penguat kuasa seperti JPJ dan polis trafik untuk lebih komited dalam memastikan langkah kesihatan, keselamatan dan persekitaran (HSE) sentiasa dititikberatkan pemandu lori tangki minyak ketika memandu di jalan raya. Ini termasuk kenderaan berat seperti lori tangki, lori angkat buah sawit, lori baja dan lori komersil sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan berat di tepi jalan, di bahu jalan ataupun di simpang jalan.

“Sewajarnya, pemandu lori tangki minyak diberikan latihan yang ketat dan kerap dalam memastikan mereka melindungi diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Beliau berkata, terdapat lori tangki minyak di Sandakan sesuka hati menghalangi jalan raya di Jalan Batu Sapi, Sandakan.

Samsudin yang juga Ketua UMNO Batu Sapi berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pemandu lori yang meletak kenderaan berat di bahu ataupun tepi jalan sesuka hati demi mengelak diperiksa oleh JPJ adalah satu perbuatan yang tidak bermoral dan secara langsung melanggar undang-undang negara serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Saya menggesa pihak JPJ ataupun Polis Trafik supaya saya mengambil tindakan yang segera dan tegas terhadap para pemandu lori ini. Jangan nanti berlaku kemalangan jalan raya yang serius, baru tindakan diambil,” katanya.

Advertisement