Anda di sini

Pelajar hero halang beg wanita diragut

Advertisement

DIJUMPAI SEMULA: Polis menyerahkan kembali kereta yang dicuri oleh sekumpulan penyamun terbabit kepada pemiliknya tengah hari semalam.

SIBU: Tindakan berani beberapa pelajar sekolah menengah mematahkan usaha sekumpulan penyamun merampas beg tangan seorang wanita di sebuah kedai kopi di Jalan Bertuah di sini pagi semalam perlu mendapat sanjungan.

Meskipun hampir berjaya menahan salah seorang daripada ahli kumpulan itu, namun ia cukup memberi petunjuk penting kepada polis menjalankan siasatan susulan apabila kereta digunakan kumpulan penjenayah terbabit terbabas ke tepi parit tidak jauh dari lokasi kejadian pada jam 7 pagi.

Kereta itu dikenal pasti sebagai kereta curi dan dilaporkan hilang oleh pemiliknya yang berumur 74 tahun di Lorong Lada 13 di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 6.50 pagi semalam, mangsa dikatakan bersarapan di kedai kopi terbabit apabila dua lelaki tiba-tiba meluru ke arahnya sebelum salah seorang merampas beg tangannya.

Kedua-duanya kemudian melarikan diri ke arah sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di kawasan belakang sebuah stesen minyak di situ dengan dua lagi lelaki sedang menunggu.

Beberapa pelajar lelaki sekolah menengah kebetulan berada di kedai kopi sama bertindak cuba mengejar dua suspek tersebut.

Menurut keterangan polis, seorang daripada suspek sempat masuk ke dalam kereta manakala seorang lagi berjaya ditahan.

Menyedari enjin kereta tidak dapat dihidupkan serta-merta, kumpulan pelajar itu memberanikan diri menghalang kereta berkenaan daripada beredar dari situ.

Sekumpulan pelajar itu dikatakan turut menggunakan kerusi diambil dari kedai kopi untuk memecahkan cermin belakang kereta tersebut supaya dapat menghalang kumpulan penjenayah berkenaan.

Bagaimanapun, dalam keadaan kelam-kabut itu, suspek yang ditahan mereka berjaya meloloskan diri.

Apabila kereta tersebut dapat dihidupkan, ia terus memecut laju menghala ke jalan utama, namun ia hilang kawalan dan terbabas ke tepi parit di Jalan Bertuah.

Semua suspek kemudian terus keluar dari kereta dan berjaya melarikan diri tanpa membawa beg tangan mangsa.

Pemeriksan awal pihak polis mendapati pencucuh kunci kereta berkenaan telah dicucuk dengan gunting. Polis turut menjumpai dan merampas sebatang rotan sepanjang dua kaki, sebilah parang, satu topi keledar, serangkai anak kunci pelbagai jenama dan sebuah beg galas.

Sementara itu dalam kes sama, pasukan polis D4 berjaya menangkap salah seorang suspek lelaki berumur lewat 30-an di sebuah rumah di Jalan Berjaya pada jam 2.30 petang semalam.

Polis percaya suspek itu adalah salah seorang daripada ahli kumpulan penyamun terbabit selepas disyaki mencuri sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di kawasan sebuah rumah di Jalan Tong Sang pada pagi hari yang sama.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan, suspek didapati berada dalam keadaan mecurigakan dan pernah terlibat dalam beberapa kes jenayah di bandar ini.

Polis kemudian pergi ke kediaman suspek di Jalan Berjaya dan dia berjaya diberkas termasuk menjumpai pakaian seakan sama semasa digunakan suspek semasa mencuri.

Difahamkan, motosikal dicuri suspek telah ditinggalkan di Jalan Merlin dan dijumpai sendiri oleh pemiliknya.

Polis percaya seorang lagi ahli kumpulan penyamun terbabit telah dikenal pasti selepas seorang saksi tampil ke balai polis melakukan pengecaman melalui album penjenayah.

Polis kini sedang berusaha untuk menjejaki ahli kumpulan penyamun terbabit yang masih bebas.

Advertisement