Anda di sini

21 staf dan jurulatih KPP adakan ekspedisi ‘takluk’ Gunung Singai

Advertisement

KUCHING: Sekumpulan staf dan jurulatih Kem PLKN Puncak Permai (KPP) mengadakan ekspedisi mendaki Gunung Singai, baru-baru ini.

Ekspedisi yang dirancang oleh jurulatih Cecilia Nigem dan diketuai oleh Kapten Abu Seman Ujang (Timbalan Komandan Latihan KPP) disertai oleh 21 orang terdiri daripada staf dan jurulatih KPP.

Pendakian yang bermula pada jam 8.15 pagi turut disertai oleh dua pelancong dari Kapit serta dua bekas pelatih PLKN yang ditemui dalam perjalanan naik selepas tertarik dengan rancangan pendakian tersebut dan akhirnya menyertai kumpulan ekspedisi.

Dengan ketinggian 1,843 kaki dari aras laut, Gunung Singai ternyata memberi cabaran kepada para pendaki lebih-lebih lagi bagi yang kali pertama mendaki gunung tersebut hingga ke puncak.

Separuh perjalanan pendakian adalah agak mudah kerana hanya perlu mengikut laluan bertangga yang disediakan sebagai laluan ke Gereja Kristus Raja, satu kawasan yang dibangunkan untuk memperingati sejarah tapak pertama penyebaran agama Katolik di Singai.

Selepas melepasi kawasan gereja, untuk menuju ke puncak para pendaki perlu meredah laluan semula jadi yang mencabar sambil menikmati panorama indah hutan primer dan hutan sekunder Gunung Singai.

Untuk memudahkan pendakian, tali disediakan oleh pihak penjaga Gunung Singai bagi membantu pendaki melepasi kawasan yang curam dan licin.

Kumpulan ekspedisi tiba di puncak gunung pada jam 11 pagi dengan peserta terakhir tiba adalah jurulatih Lucy Suwet.

Walaupun demikian, Lucy melahirkan rasa puas hati yang tidak terhingga dan merancang akan turut serta ‘menakluki’ gunung-gunung seterusnya yang akan dimasukkan dalam kalendar Gaya Hidup Sihat KPP.

 

Advertisement