Anda di sini

Percutian keluarga berakhir tragedi

Advertisement

CEDERA: Anak saudara mangsa dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.

LUNDU: Percutian sebuah keluarga sempena Hari Pekerja kelmarin berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Menurut sumber, kemalangan berlaku di Jalan Lundu-Bau apabila keluarga terbabit dalam perjalanan pulang dari sebuah pusat peranginan di Sematan, dekat sini sekitar jam 10 pagi Jumaat lepas.

Keluarga terbabit yang berasal dari Matang, Kuching dan terdiri daripada sepasang suami isteri bersama seorang anak serta anak saudara dikatakan menaiki sebuah pikap jenis Toyota Hilux.

“Semasa kejadian mereka dalam perjalanan pulang selepas bermalam di Sematan sejak 30 April dan ketika kejadian pikap yang dipandu si suami hilang kawalan ketika cuba mengelak van yang dikatakan memasuki satu simpang secara melulu.

“Ekoran itu, pikap yang dinaiki mereka itu terbabas lalu terbalik sebanyak enam kali menyebabkan si suami tercampak keluar,” kata sumber.

Si suami parah manakala isteri dan anaknya hanya mengalami kecederaan ringan.

“Suami yang parah telah dikejarkan ke Hospital Lundu namun disahkan meninggal dunia sekitar jam 6 petang hari yang sama.

“Manakala anak saudara mangsa yang mengalami patah tulang kaki dan tangannya telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” kata sumber.

Beberapa anggota polis turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Advertisement