Anda di sini

Peniaga tamak pincangkan pelaksanaan GST

Advertisement

KUCHING: Rakyat tidak seharusnya menyalahkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenaikan harga barangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ini kerana menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, polisi GST adalah baik untuk negara tetapi telah dimanipulasikan peniaga tamak demi mengaut keuntungan.

“Saya akui bahawa pelaksanaan GST bukan satu langkah popular yang  diambil kerajaan tetapi rakyat tidak seharusnya menyalahkan pentadbiran Datuk Seri Najib berikutan kenaikan harga barangan.

“Kenaikan harga barangan bukan disebabkan kelemahan GST tetapi ia adalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab peniaga yang mengambil kesempatan ke atas pelaksanaan GST,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2015 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, Jumaat lepas.

Riot menjelaskan, sebab itu kerajaan memerlukan kerjasama kuat daripada  peniaga agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya terutama barangan dikecuali daripada GST.

Sementara itu, Najib ketika berucap pada majlis itu berkata GST bukan dilaksana untuk membeban rakyat tetapi untuk meningkatkan pendapatan negara.

Bagaimanapun, kira-kira 5,000 tetamu dalam dewan yang kebanyakan terdiri daripada warga pekerja di sektor awam dan swasta tidak bersetuju dengan kenyataan Najib itu.

Meskipun ramai tidak bersetuju, Najib sebaliknya berkata peniaga nampaknya telah mengambil peluang daripada pelaksanaan GST untuk mengaut keuntungan.

Berikutan itu Najib mahu pihak berkuasa berkenaan mengambil tindakan ke atas peniaga yang tidak bertanggungjawab ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Riot berkata kerajaan memandang serius kebajikan dan perlindungan sosial pekerja.

“Peranan kerajaan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan cukup meluas dan merentas pelbagai peringkat daripada pencegahan, penguatkuasaan sehingglah kepada pembayaran pampasan,” katanya.

Bagaimanapun, peranan pihak kerajaan sahaja tidak mencukupi jika kita ingin membawa pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ke tahap yang lebih tinggi.

Advertisement