Anda di sini

Kerajaan tidak persia mandat rakyat

Advertisement

KUCHING: Corak pentadbiran berlandaskan tuntutan Islam yang memberi keutamaan kepada aspek keadilan akan terus diamal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memasti Malaysia terus mencapai kemajuan.

Berucap merasmikan Masjid Nurir Rahman Kampung Santubong di sini kelmarin, Najib menjelaskan, kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan mempersia amanah diberi rakyat.

“Ia amanah rakyat ketika memilih, tanggungjawab sudah pasti digalas sebaik mungkin bagi memasti kemakmuran secara bersama dapat dicapai,” katanya.

Malah menurutnya, kemajuan sesbuah negara bukan sahaja terletak kepada pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya rakyat perlu memiliki kekuatan termasuk unggul, cemerlang dan hebat dalam bidang diceburi.

“Malaysia bakal mencapai status negara maju pada tahun 2020. Jadi kita memerlukan rakyat dan umat Islam yang dapat menjadi khalifah selain menjalankan tugas penuh etika dan integriti.

“Maju bukan sahaja dikira berlandaskan pembangunan fizikal tetapi ia turut mencakupi kekuatan tersendiri,” katanya.

Terdahulu beliau bersama kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah bertajuk ‘Etika dan Integriti Asas Jati Diri Pekerja’ yang disampaikan Penolong Imam Besar Negeri Mohammad Ihsan Haidzir.

Untuk memastikan umat Islam terus berjaya, Najib berkata, kefahaman mengenai agama perlu didalami setiap umat terutama bagi mengubah persepsi masyarakat dunia terhadap ajaran Islam.

“Kita sedia maklum, masyarakat dunia sentiasa menganggap Islam sebagai pengganas. Jadi kita perlu ubah persepsi ini dengan mendalami Islam bagi mengubah persepsi negatif ini,” ujarnya.

Tambah Najib lagi, ajaran Islam sebenarnya terbuka dan memberi penekanan kepada aspek pengukuhan perpaduan.

“Penyatuan merupakan keutamaan dalam Islam untuk memastikan kita terus kekal terutama dalam membina tamadun selain meningkat jati diri tinggi,” jelasnya.

Hadir sama Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Advertisement