Anda di sini

PPIM gesa kerajaan kaji semula kemasukan penuntut Afrika

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kerajaan mengkaji semula kemasukan penuntut dari benua Afrika yang didakwa banyak menimbulkan masalah sosial di negara ini.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya banyak menerima aduan berhubung tatalaku mereka yang kurang menyenangkan, termasuk penglibatan mereka dalam aktiviti penipuan.

“PPIM terima banyak aduan sejak dahulu tetapi kebelakangan ini aduan terhadap mereka semakin meningkat. Kedatangan mereka ini tidak mendatangkan faedah kepada kita dan sebaliknya banyak memberi tekanan kepada rakyat kita,” katanya pada sidang media di Sembang-sembang Cafe di sini, semalam.

Beliau berkata antara penipuan yang sering dilakukan oleh pelajar terbabit adalah menggunakan akaun bank wanita tempatan, pengubahan wang haram serta menggangu ketenteraman masyarakat di tempat mereka tinggal.

“Siasatan kami menunjukkan mereka masuk ke negara menggunakan visa penuntut namun selepas mendaftar di universiti dan kolej swasta mereka terus menghilangkan diri. Jadi kita tidak tahu apa aktiviti mereka,” katanya.

“IPTS juga patut melaporkan kepada kementerian jika mereka tidak hadir kuliah. PPIM turut menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji semula kemasukan pelajar Afrika ini dengan membuat saringan lebih ketat sebelum mengambil pelajar dari negara ini.

“Sebab itu PPIM dan NGO (badan bukan kerajaan) lain meminta kemasukan mereka ini menggunakan visa pelajar dikaji semula oleh kerajaan kerana kemudahan ini disalahgunakan,” katanya.

Daripada pemerhatian dan siasatan yang dilakukan oleh pihak PPIM dan beberapa NGO lain, ada penuntut dari Afrika ini didapati licik menggunakan Internet untuk menipu orang ramai dengan pelbagai alasan.

Menurut Nadzim lagi, orang ramai daripada pelbagai latar belakang nampaknya mudah terpedaya dengan tipu helah warga Afrika ini.

“Malahan ramai gadis dan isteri orang turut menjadi mangsa penipuan,” katanya.

PPIM juga meminta pemilik kediaman supaya tidak menyewakan premis mereka kepada golongan penuntut dari Afrika. — Bernama

 

 

Advertisement