Anda di sini

Jumlah golongan muda terlibat rasuah membimbangkan

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengarah Bahagian Pendidikan dan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, jumlah golongan muda yang terlibat dengan rasuah amat membimbangkan.

Berdasarkan statistik pada tahun 2003 hingga 2013 katanya, sebanyak 54 peratus daripada 5,799 pesalah rasuah ditangkap di seluruh negara ini adalah melibatkan golongan belia yang berusia 40 tahun ke bawah.

“Manakala berdasarkan hasil kajian yang dijalankan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebanyak 30.5 peratus pelajar daripada 474 responden turut menyatakan sanggup menerima rasuah jika berkuasa dalam sesuatu pekerjaan.

“Berdasarkan hasil kajian, ini menimbulkan kerisauan kita terhadap golongan muda yang menunjukkan kecenderungan dalam pembabitan rasuah,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian penutupan program Karnival Integriti dan Anti Rasuah peringkat Sabah, di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabtu lepas.

Menurut Shamsun, dorongan menerima rasuah dipengaruhi pelbagai faktor termasuk latar belakang serta bergantung dengan individu itu sendiri.

“Golongan muda memang senang terjebak disebabkan terikut dengan gaya hidup tanpa mengira kemampuan dan kehendak semasa,” katanya.

Justeru katanya, penubuhan sekretariat pencegahan rasuah di seluruh universiti awam seperti di UMS dapat membantu menyebarkan mesej dan menyakinkan masyarakat dalam menyokong usaha mencegah rasuah.

Katanya, untuk memastikan bebas dari rasuah, pendidikan itu harus bermula di peringkat awal iaitu peringkat sekolah rendah hingga ke universiti.

“Dalam mencegah rasuah, ini adalah usaha bersama dan bukannya isu perlu dipolitikkan. Kita dilihat sebagai negara yang teruk (rasuah) kerana  telah dipolitikkan oleh orang tertentu,” katanya.

Advertisement