Anda di sini

PATI Filipina dipenjara tiga hingga empat bulan

Advertisement

MIRI: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina termasuk seorang wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga empat bulan kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Marutin Pagan setelah menimbang beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan semua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.

Hatta Shidol (39), Meksan Rohman (19), Ders Adul (40), Markin Rahman (19), Aljabir Haibin (19), Asman Tasam (35), Binajar Sabirin (19) dan Naslin Najar (22), kesemuanya berasal dari Filipina telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (4) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, sepasukan pegawai penguasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Miri menjalankan Ops Mahir di tapak pembinaan, Jalan Pantai Lutong telah menahan kelapan-lapan tertuduh untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati semua tertuduh merupakan warga negara Filipina masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokuman perjalanan sah.

Berikutan itu, mereka ditangkap untuk disoal siasat.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh lelaki dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan sekali sebatan. Manakala tertuduh wanita hanya dipenjara tiga bulan.

Mahkamah kemudian turut memerintahkan kesemua tertuduh dihantar pulang ke negara asal mereka sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dilakukan Muhamad Adnan Marzuki selaku Pegawai Pendakwa JIM Miri.

 

Advertisement