Anda di sini

OMSB siapkan pelantar minyak Tanjong Baram

Advertisement

KUCHING: OceanMight Sdn Bhd (OMSB), syarikat bersekutu KKB Engineering Bhd (KKBEB) melakar satu kejayaan signifikan selepas berjaya menyiapkan fasa akhir projek sulung pelantar minyak Tanjong Baram yang dibina di lokasi kira-kira empat kilometer dari pesisir pantai Miri.

Bukan itu sahaja, pejabat tadbir OMSB serta lapangan fabrikasi minyak dan gas turut dirasmikan semalam dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem hadir menyempurnakan pejabat dan pelantar minyak berkenaan.

Menurut kenyataan akhbar diberikan kepada media, projek berkenaan dianugerahkan oleh 2H Ofshore Engineering SB kepada OMSB pada 29 September 2014 dan melibatkan pembinaan pelantar minyak Tanjong Baram.

Lapangannya telah dibangunkan oleh Enquest Petroluem Developments Malaysia Sdn Bhd dan UZMA Energy Venture (Sarawak)Sdn Bhd.

Fasa 1, yang merupakan struktur kecil diberikan pada 7 Januari 2015.

Dengan siapnya fasa itu, ia membolehkan Enquest Petroleum dan UZMA Energy menggerudi minyak pada tarikh ditetapkan.

Fasa akhir yang merupakan ‘Wellhead Topside’ (bahagian atas kepala telaga), siap dibina pada 21 April 2015 dan ini membolehkan pengeluaran hidrokarbon dari lapangan Tanjong Baram.

Kedua-dua projek disiapkan dengan cepat mengikut jadual.

Kejayaan menyiapkan seluruh projek dicapai dengan selamat dan 130,000 jam keseluruhan tanpa sebarang kecederaan.

Pencapaian ini diperolehi berkat kerjasama baik semua kakitangan yang terlibat termasuk pemegang kepentingan dan pelanggan – Petronas, Enquest Petroleum Development, UZMA Energy dan 2H Offshore Sdn Bhd.

Kejayaan menyiapkan projek sulung ini adalah satu pencapaian strategik oleh KKBEB kerana ia menandakan penyertaannya yang berani dalam industri minyak dan gas yang dinamik dan mencabar sebagai satu daripada beberapa pemain kejuruteraan struktur dan modul, perolehan, fabrikasi dan pentauliahan utama sejak OMSB memperolehi Lesen Fabrikasi Utama daripada Petronas pada 2013.

“Pencapaian itu juga menandakan kejayaannya dalam usaha mempelbagaikan perniagaan dan menambah satu lagi mercu tanda kepada membina negara bangsa dan pencapaian perniagaan selama 53 tahun di Sarawak.

“Projek berkenaan disiapkan di kemudahan fabrikasi moden dan canggih OMSB selain jeti ‘load out’ 30,000 tan metrik yang terletak di sebuah limbungan seluas 70 ekar di sepanjang Jalan Bako, Kuching,” jelas kenyataan akhbar berkenaan.

Kemudahan tersebut terdiri daripada sebuah bangunan pentadbiran yang dapat menampung 400 kakitangan, kemudahan kantin yang dapat menampung 500 kakitangan, sebuah pusat pemerintah keselamatan 24 jam, sebuah klinik dan lain-lain.

Bagi operasi semasa, OMSB melantik kira-kira 95 peratus jurutera dan pekerja mahir tempatan.

Walaupun harga minyak tidak menentu pada tahun ini, OMSB tetap optimis tentang prospek minyak dan gas tempatan pada masa depan.

OMSB telah mengambil bahagian dalam banyak tender daripada pelbagai PSC Petronas dan selain RSC yang mana hasilnya hanya akan diketahui pada hujung tahun ini.

OMSB komited untuk menjadi penyedia utama dari Sarawak bagi kemudahan minyak dan gas serta hiliran kepada semua PSC, RSC, SFRSC untuk memajukan lapangan di perairan Malaysia dan luar negara.

 

Advertisement